Dedikasi, komitmen penjawat awam kunci kejayaan belanjawan Oleh Noor Mohamad Shakil Hamee

Estimate Reading Time: 3 minutes

Ketika membentangkan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengungkapkan, negara memerlukan perkhidmatan awam berkesan, cerdas dan tangkas dalam menjayakan agenda pembangunan semula negara.

Kenyataan ini dengan jelas merujuk harapan Anwar, kerajaan dan negara terhadap komitmen serta kerjasama seluruh warga perkhidmatan awam dalam menggembleng tenaga menjayakan segala inisiatif diumumkan melalui Belanjawan 2024.

Dalam konteks ini, belanjawan bertemakan ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ turut menggariskan ‘tata kelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan’ sebagai antara tiga tumpuan utama bakal mendasari pelaksanaan inti pati diumumkan.

Sebagai ‘tulang belakang’ kerajaan, pelaksana dasar diperkenalkan serta penyampai perkhidmatan kepada rakyat, kelompok penjawat awam mempunyai peranan besar dalam menjayakan pakej belanjawan berjumlah RM393.8 bilion, terbesar dalam sejarah negara.

Hakikatnya, kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif dan insentif kepada hampir semua lapisan masyarakat dan kini terpulang kepada penjawat awam bagaimana untuk memastikan semua yang diumumkan itu dapat dilaksanakan sekali gus sampai kepada kumpulan sasaran.

Dalam hal ini, aspek integriti, amanah, cekap dan efisien disulami dengan kesedaran perlu dilaksanakan dengan segera atau tepat pada masanya perlu menjadi pegangan dan amalan penjawat awam.

Ironinya hidup rakyat makin dicengkam pelbagai dugaan khususnya kitaran ekonomi tidak menentu serta peningkatan kos sara hidup mendadak.

Maka semua mengharapkan ihsan dan bantuan daripada kerajaan, yakni mahukan bantuan diumumkan disalurkan dengan segera demi kelangsungan kehidupan seharian. Misalnya, RM58.1 bilion disediakan untuk membiayai pelbagai bentuk pemberian kerajaan kepada rakyat merangkumi subsidi, insentif dan bantuan.

RM225 juta disediakan untuk membiayai kos pengedaran barangan keperluan asas seperti petrol, gas, tepung, beras dan minyak masak ke kawasan desa serta pedalaman di bawah Program Community Drumming.

Maka, menjadi tanggungjawab penjawat awam yang terbabit dalam proses agihan bantuan ini untuk melaksanakan tugas dengan cekap dan amanah tanpa sebarang ketirisan selain memastikan ia sampai kepada penduduk dengan kadar segera.

Selain itu, Kementerian Pendidikan menarik perhatian khalayak apabila menerima peruntukan paling tinggi Belanjawan 2024 dengan tumpuan utama terarah kepada proses menaik taraf dan menyelenggara sekolah di seluruh negara di samping pembinaan 26 sekolah baharu dan 18 blok baharu Pendidikan Khas.

Kementerian Kesihatan (KKM) pula diharap ambil peduli dengan teguran Anwar mahukan proses perolehan ubat diteliti bagi menghalang ketirisan sekali gus memastikan keseluruhan peruntukan RM41.2 bilion dibelanjakan dengan penuh berhemah. Maka, pegawai akan menguruskan perolehan ubat dan kemudahan lain perlu berpegang teguh kepada prinsip integriti tinggi.

Kalis kerenah birokrasi, permudah urusan

Pada masa sama, pelbagai bantuan lain hendak disalurkan juga perlu kalis kerenah birokrasi yang akan menyusahkan rakyat mahupun kelompok peniaga serta pelabur.

Sewajarnya setiap agensi dan jabatan kerajaan perlu fokus penyediaan perkhidmatan berpaksikan pendigitalan dan permudahkan semua proses penyampaian perkhidmatan bagi mencapai harapan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat serta melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Ini termasuk memudahkan proses permohonan, kelulusan serta penyaluran dana pinjaman berjumlah RM1.6 bilion disediakan khusus untuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera.

Dalam hal ini, dedikasi dan komitmen penjawat awam amat dituntut, usah biarkan pemohon kecewa dan merungut kerana sukar untuk mendapatkan bantuan sehingga boleh menjejaskan peningkatan kapasiti dan daya saing peniaga Bumiputera.

Jujurnya kita mahu penjawat awam mengambil iktibar dengan penemuan dan teguran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang saban tahun menemui pelbagai ketirisan dan salah laku.

Dalam konteks ini kita mahu kerajaan mewujudkan satu mekanisme terbaik bagi memantau dan menyelaras pelaksanaan Belanjawan 2024 supaya berkesan, telus, sampai kepada kumpulan sasaran tanpa sebarang ketirisan dan penyelewengan.

Pada masa sama, penjawat awam juga perlu memainkan peranan signifikan dalam membantu meningkatkan sumber pendapatan negara supaya peruntukan disediakan dalam Belanjawan 2024 dapat manfaatkan sepenuhnya.

Misalnya kutipan cukai pendapatan yang menjadi sumber pendapatan utama kerajaan, perlu dilaksanakan dengan cekap dan efisien. Kita memerlukan pegawai tangkas supaya dapat mencari dan mengambil tindakan terhadap individu mahupun syarikat korporat yang culas, tipu dan mengelak membayar cukai.

Tuntasnya, kejayaan Belanjawan 2024 ini banyak dipengaruhi kemampuan dan kecekapan penjawat awam yang selama ini memberikan perkhidmatan terbaik dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan.

Justeru, besarlah harapan seluruh anggota masyarakat agar penjawat awam akan meneruskan kecemerlangan perkhidmatan dengan penuh keinsafan bagi meringankan beban kehidupan rakyat.

Diharap bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 akan diberikan kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan ke bawah sementara Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dilengkapkan menjadi suntikan motivasi untuk memberikan perkhidmatan lebih cekap dan berkesan.

Sesungguhnya merancang itu lebih mudah daripada melaksanakannya dan kini tanggungjawab berat menanti setiap penjawat awam, kementerian, agensi dan jabatan dalam merealisasikan Belanjawan 2024 sekali gus meningkatkan darjat hidup rakyat.

Paling penting, penjawat awam akan melaksanakan projek ini perlu berpegang teguh kepada prinsip tadbir urus dan tata kelola yang baik sebagai jaminan setiap agenda, inisiatif dan insentif dirangka dalam belanjawan mencapai matlamatnya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373