Dhabitah harap segera pulih untuk Sukan Asia

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri berharap dapat kembali pulih sepenuhnya untuk bergandingan bersama Datuk Pandelela Rinong dalam acara 10 meter (m) platform seirama di Sukan Asia Hangzhou, bulan depan.

Dhabitah, 24, mengalami kecederaan pergelangan tangan kiri ketika Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun, bulan lalu.

Susulan kecederaan itu, Dhabitah gagal mempamerkan prestasi sebenarnya apabila terkandas di separuh akhir acara 3m papan anjal individu sebelum menarik diri dalam acara 10m seirama bersama Pandelela.

“Ketika ini saya disenaraikan dalam acara 1m papan anjal dan 3m individu dan seirama (Sukan Asia).

“Namun, saya dah maklumkan kepada jurulatih untuk beraksi dalam acara 10m platform seirama. Saya rindu untuk terjun dalam acara 10m. Itu sasaran saya.

“Bagaimanapun, jurulatih berkata ia terpulang kepada kecederaan saya, jika saya boleh, mungkin saya akan gugur satu acara sama ada 1m atau 3m individu kerana empat acara terlalu banyak dan saya bukan berusia 20 tahun lagi,” katanya yang mengakui acara 10m dan 3m adalah jiwanya.

Mengulas mengenai tahap kecederaannya ketika ini, Dhabitah mengakui ia semakin pulih biarpun masih ada mengalami rasa sakit ketika melakukan terjunan.

“Sekarang saya masih bergelut lagi, masih terasa sakit di tempat yang cedera itu. Saya cuba untuk naik sedikit demi sedikit tahap ketinggian untuk uji ketahanan saya.

“Dulu ketika terjun 1m pun dah rasa sakit bila sudah sampai Malaysia saya cuba terjun 5m sakit itu dah kurang.

“Namun, saya tidak mahu beri tekanan terus naik ke 7m dan 10m takut sakit itu datang balik, tapi bila dan betul-betul bersedia saya akan cuba,” katanya.

Sebagai rekod, ia akan menjadi penampilan ketiga Dhabitah di Sukan Asia dengan pencapaian terbaiknya di temasya itu pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang apabila meraih satu perak dalam acara 3m seirama dan dua gangsa dalam acara 3m individu dan 10m seirama.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373