Dr Noor Hisham bersara Jumaat ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Selepas 35 tahun berkhidmat dalam sektor kesihatan awam negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan bersara wajib pada Jumaat ini.

Dr Noor Hisham dalam ciapannya di Twitter, menzahirkan persaraannya menerusi beberapa rangkap pantun.

“Kapal layar kemudi cermat, bijak nakhoda melawan gelora; 35 tahun setia berkhidmat, tiba detiknya waktu bersara.

“Langit dan mega luas terbentang, kadangnya cerah yang gelap menanti teruskan berjasa pimpinan mendatang, yang patah tumbuh yang hilang berganti,” ciapnya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, merakamkan penghargaan kepada Dr Noor Hisham yang bersara wajib Jumaat ini, selepas 35 tahun menabur khidmat dan bakti dalam bidangnya.

Ahli Parlimen Sekijang itu menyifatkan tempoh pengalaman Dr Noor Hisham amat bermakna dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina perkhidmatan kesihatan rakyat Malaysia supaya setanding dengan negara luar.

“Saya percaya khidmat Tan Sri tidak terhenti di sini, bahkan khidmat itu masih diperlukan untuk pembangunan perubatan dan kesihatan negara.

“Saya mewakili pihak Kementerian Kesihatan ingin mengucapkan selamat bersara dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Tan Sri Dr Noor Hisham di atas jasa, khidmat bakti dan sumbangan yang beliau sumbangkan sepanjang perkhidmatan di Kementerian ini,” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Dr Noor Hisham menjawat sebagai Ketua Pengarah sejak 2013 dan sepanjang tempoh lebih tiga dekad dalam perkhidmatan cemerlangnya, beliau antara individu penting ketika negara berdepan krisis kesihatan ketika pandemik COVID-19.

Malah, beliau juga dianggap ‘wira’ rakyat melalui pencapaian terbaik pasukan kesihatan di bawah pimpinannya dalam memerangi penularan virus itu.

Beliau turut dianggap wajah penting dalam memberi keyakinan kepada rakyat terutama menerusi usahanya menyalurkan maklumat mengenai COVID-19 sama ada melalui media arus perdana atau di media sosial. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373