Dron, kamera aksi pengawasan bantu JPJ Negeri Sembilan kesan 863 kesalahan trafik

Estimate Reading Time: 2 minutes

SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mengesan 863 kesalahan dilakukan pengguna jalan raya melalui penggunaan dron serta kamera aksi pengawasan (EAC) sepanjang tempoh 10 penguatkuasaan sempena Aidilfitri sejak 18 April lalu.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf, berkata antara kesalahan dikesan termasuklah kegagalan mematuhi lampu isyarat trafik, memotong barisan dan pelbagai lagi.

“Dalam operasi ini, kita gunakan kaedah dron dan EAC yang dilihat sangat efektif dalam melaksanakan penguatkuasaan kerana kesalahan mudah dikesan untuk diambil tindakan lanjut.

“Setakat ini, JPJ Negeri Sembilan mempunyai tiga unit dron dan peralatan ini akan ditambah dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata secara keseluruhan 3,796 kesalahan membabitkan 1,902 kenderaan dikesan sepanjang penguatkuasaan sempena Aidilfitri lalu sepanjang tempoh sama.

“Semua kesalahan itu, dikesan hasil pemeriksaan ke atas 12,243 kenderaan membabitkan antara lain tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, gagal mematuhi lampu isyarat merah, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta memotong di garisan berkembar.

“Sepanjang tempoh berkenaan, JPJ negeri turut mengeluarkan 2,432 saman atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu, Hanif berkata, pihaknya melaksanakan tujuh strategi termasuk pemeriksaan bas di depoh dan terminal, rondaan di lebuh raya serta di jalan utama.

“Kami juga melakukan penguatkuasaan khas motosikal, penyamaran sebagai penumpang bas dan membuat rakaman video kesalahan secara elektronik dengan menggunakan EAC.

“Dari segi jumlah saman dikeluarkan, ia meningkat berbanding sebelum ini dan ia selaras dengan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.

Sementara itu, beliau berkata sepanjang tempoh berkenaan juga, sejumlah 8,025 motosikal diperiksa dengan 1,528 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal dan 129 kenderaan disita mengikut peruntukan Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Penguatkuasaan khas motosikal bertujuan memastikan penunggang dan kenderaan itu yang digunakan di atas jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan di bawah APJ 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya.

“Ia juga bagi mengurangkan kadar kemalangan termasuk membabitkan maut dalam kalangan penunggang dan pembonceng dengan tumpuan di laluan utama motosikal di Seremban dan Nilai, serta memfokuskan kesalahan lesen memandu, LKM dan aspek teknikal,” katanya. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373