Dua warga Sweden maut dalam tembakan di Brussels

Estimate Reading Time: < 1 minute

BRUSSELS: Dua warga Sweden ditembak mati di Brussels pada awal pagi ini oleh seorang suspek yang masih bebas, dalam serangan disifatkan Perdana Menteri Belgium sebagai keganasan.

Lelaki bersenjata itu, memakai jaket oren pendarfluor, melarikan diri dengan skuter dan Belgium kemudian menaikkan amaran keganasannya kepada empat – yang tertinggi untuk wilayah Brussels, dan tahap tiga secara nasional.

Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo, berkata tembakan itu menyasarkan warga Sweden.

“Saya baru sahaja menyampaikan ucapan takziah kepada PM Sweden berikutan serangan mengerikan malam ini terhadap warga Sweden di Brussels,” kata De Croo di X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.

Menurut beberapa media Belgium dua individu yang terbunuh itu memakai baju bola sepak milik pasukan kebangsaan Sweden menjelang perlawanan antara Sweden dan Belgium.

Perlawanan kelayakan Kumpulan F Eropah antara kedua-dua negara digantung pada separuh masa kerana insiden itu, pihak Belgium menyiarkan di akaun media sosial.

Wartawan di Stadium Roi Baudouin di Brussels berkata peminat telah ditahan di lapangan, dan laman web UEFA berkata perlawanan itu telah dihentikan dengan keputusan terikat 1-1.

Media Belgium melaporkan bahawa pemain Sweden tidak mahu meneruskan permainan selepas serangan itu.

Video seorang lelaki berbahasa Arab dan mengaku bertanggungjawab ke atas tembakan itu tersebar di media sosial, kata sumber yang rapat dengan kes itu.

Pendakwa raya persekutuan yang bertanggungjawab kes keganasan melancarkan siasatan.

Tembakan berlaku di daerah utara ibu negara. Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas jam 7 malam waktu tempatan (1700 GMT).

Polis mengepung kawasan di mana tembakan berlaku, kata wartawan AFP.

Dalam video yang dikongsi dalam talian oleh akhbar Flemish Het Laatste Nieuws, penembak itu dilihat dengan senjata automatik di bahunya, melarikan diri dengan skuter.

Empat das tembakan boleh didengari dalam video berkenaan.
– AFP
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373