DUN Johor belum putus bentang RUU lompat parti

Estimate Reading Time: 2 minutes

BATU PAHAT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor belum membuat sebarang keputusan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi melarang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri itu bertukar parti.

Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ini kerana kerajaan negeri perlu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terlebih dahulu, sebelum membuat keputusan menguatkuasa undang-undang berkaitan antilompat parti.

Beliau menjelaskan, persidangan DUN pada esok lebih tertumpu pada urusan kerajaan dan kewangan terlebih dahulu berbanding perkara lain.

“Kita belum membuat sebarang keputusan berkenaan RUU lompat parti dan kita akan berbincang perkara itu kerana perlu mendapat perkenan Tuanku Sultan.

“Tetapi, saya yakin di Johor kita ada kebijaksanaan kita sendiri, lebih-lebih lagi selepas Tuanku Sultan sendiri tidak mahu kita panggil pembangkang sebagai pembangkang tetapi pengimbang.

“DUN Johor sudah ‘move on’ bahawa masing-masing ada peranan, sumbangan, jadi kita terima semua itu. Nampaknya pihak di sebelah sana pun (pengimbang), dia suka dengan pendekatan Tuanku Sultan. Sebab itu kita tenang, lebih harmoni, berwibawa apabila sidang DUN berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Bazar Rakyat Agro Johor dan Jualan Agro MADANI Pusat Memproses Makanan Lembaga Pertanian Persekutuan (FAMA) di Rengit, di sini, hari ini.

Ketika ini, lapan negeri sudah menguatkuasakan akta lompat parti, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan, Sarawak dan Sabah.

Johor antara empat negeri yang belum menguatkuasakan RUU itu, selain Terengganu, Kedah dan Pahang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, sebelum ini dilaporkan berkata, peruntukan Seksyen 6 Akta A1663 memberikan ruang kepada Kerajaan Negeri/DUN untuk melaksanakan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti melalui pindaan Perlembagaan Negeri, tertakluk persetujuan Raja atau Yang Dipertua Negeri.
Katanya, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 (Akta A1663) melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti sudah diwartakan pada 6 September 2022 dan berkuat kuasa pada 5 Oktober 2022.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373