ECRL jajaran Negeri Sembilan mula dibina suku ke-3, kata menteri

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEREMBAN: Proses pembinaan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bagi jajaran di Negeri Sembilan akan bermula suku ke-3 tahun ini, kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Beliau berkata, jajaran di Negeri Sembilan melibatkan 58.87km merangkumi 2 stesen, iaitu Kuala Klawang di daerah Jelebu dan Kawasan Perindustrian Nilai.

“Kita akan mulakan di tanah kerajaan dahulu dan untuk mana-mana tanah milik persendirian yang terlibat, kita kena tunggu sampai proses pengambilan tanah selesai,” katanya selepas melawat ruang pameran Skim Jajaran ECRL di sini, hari ini.

Beliau menyeru orang ramai ke Pejabat Tanah dan Daerah melihat jajaran serta kesan penggunaan tanah di jajaran terbabit dan pemilik tanah boleh mengemukakan bantahan atau maklum balas kepada kerajaan.

Loke berkata, 2 stesen ECRL di Negeri Sembilan itu akan dinamakan Stesen Klawang dan Nilai.

“Bagi Stesen Klawang, ia akan dibina berdekatan jalan utama di Jelebu berdepan dengan Kolej Vokasional Kuala Klawang dan dibina di atas tanah.

“Stesen Nilai pula akan dibina di kawasan perindustrian Nilai berhampiran Arab Malaysian Industrial Park. Ia adalah stesen integrasi yang mana kita akan bina secara bertingkat supaya dapat menghubungkan stesen baru KTM komuter Nilai yang akan dibina sekali.”

Katanya, projek ECRL melibatkan 3 seksyen, iaitu seksyen A dari Kota Bharu, Kelantan ke Mentakab di Pahang dengan jajaran sepanjang 410km; seksyen B dari Dungun di Terengganu ke Mentakab dengan jajaran sepanjang 265km, manakala seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang di Selangor sepanjang 165km. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373