Ejen Ali ditonton seluruh dunia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Enam judul animasi Malaysia berjaya menembusi Amazon Prime melalui perjanjian yang termeterai antara anak syarikat Primeworks Distribution iaitu Primeworks Studios dan Janson Media.

Animasi tempatan yang diwakili Primeworks Distribution iaitu Soccer Bugs, Cingkus Blues, Saladin, Knowsy Nina Wants To Know, Super Tots dan Ejen Ali yang dihasilkan oleh Primeworks Studios dan Wau Animation boleh didapati di Amazon Prime. Ia boleh dilayari oleh penonton seluruh Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Ireland, Australia dan New Zealand.

“Pembabitan dalam menerbitkan Ejen Ali memberikan satu pengalaman yang bermakna selaku penerbit bersama. Kami lebih memahami kesukaran dan pentingnya komitmen yang tinggi dalam menghasilkan sesebuah siri animasi yang bermutu tinggi.
“Kami berbesar hati apabila kerjasama dengan negara luar dapat dicapai kerana peluang seperti ini adalah sangat penting bukan sahaja dari segi keuntungan pelaburan kewangan kepada industri animasi, tetapi satu pengiktirafan dunia terhadap kualiti serta penceritaan animasi Malaysia.
“Kami gembira menjadi sebahagian penyumbang kecil dalam usaha untuk memastikan bidang animasi Malaysia terus berkembang maju. Terima kasih diucapkan kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) atas sokongan yang berterusan melalui bantuan kewangan, tunjuk ajar dan intel industri,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar.

Perjanjian ditandatangani pada awal tahun ini pada saat pandemik COVID-19 melanda dunia adalah sangat tepat, yang mana penonton hanya terbatas di rumah dan sentiasa mencari kandungan berkualiti untuk ditonton.

“Kami berbangga hasil karya animasi mendapat tempat di platform seperti Amazon Prime. Rasa keterujaan lebih tinggi apabila mengetahui hasil kerja keras dapat ditonton seluruh dunia pada waktu yang tepat, penonton pula sentiasa mencari program untuk ditonton.

“Usaha dilakukan Primeworks Distribution sebagai pengedar yang mewakili syarikat kecil seperti kami adalah sangat penting supaya dapat memberi tumpuan terhadap kerja produksi. Kami beruntung kerana dapat meneruskan kembali perjanjian kerjasama dalam waktu pandemik yang sukar ini.

“Ini adalah berita berharga yang dapat dikongsikan kepada pasukan kami yang bertungkus lumus menghasilkan Cingus Blues dan Soccer Bugs,” kata Penerbit Eksekutif, 3rd Rock Creations, Kar Hooi Tan.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif, Bahagian Perolehan dan Pembangunan, Janson Media, Jesse Janson melihat situasi semasa sebagai ruang terbaik memasarkan produk dalam talian.

“Berikutan penularan wabak yang melanda dunia sekarang ini, kami melihat akan peningkatan jumlah penonton yang tinggi untuk kandungan kanak-kanak.

“Oleh itu, penawaran pakej kandungan siri TV animasi kanak-kanak daripada Primeworks ini menjadi tambahan kepada kandungan video kanak-kanak sedia ada di Amazon Prime. Kami yakin siri TV animasi ini akan berjaya mendapat tempat di hati penonton Amazon,” katanya.

Primeworks Distribution mempunyai kepelbagaian kandungan katalog animasi yang merangkumi beberapa judul animasi popular di samping IP ulung, Ejen Ali yang mencapai kejayaan luar biasa dalam dan luar negara.

Dengan berbekalkan dua musim penuh siri animasi TV penuh aksi, menembusi lebih 50 negara seluruh dunia, kejayaan Ejen Ali diteruskan ke layar perak pada November 2019. Ejen Ali The Movie meraih kutipan sebanyak RM30 juta di Malaysian Box Office menjadikannya filem animasi terlaris dan mencatat kutipan tertinggi di Malaysia.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373