Empat ‘kluster’ cemari industri kreatif

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kuasatek Pictures Sdn Bhd, Mohd Noor Kadir menempelak kumpulan minoriti yang melancarkan kempen menghasut penggiat seni menandatangani petisyen menyingkir Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, sejak minggu lalu.

Terpanggil memberi pandangan sejak kontroversi itu tercetus, Mohd Noor yang membina empayar syarikat penerbitan Kuasatek Pictures sejak 1994, melabel kumpulan penghasut itu kepada empat ‘kluster’ iaitu Kluster Persatuan, Kluster Dana, Kluster Batu Api dan Kluster Lalang.

Melalui perkongsian di Facebook (FB), Mohd Noor menghuraikan empat ‘kluster’ terbabit mewakili individu termasuk pemimpin persatuan yang didakwa menerima kesan daripada perubahan dasar FINAS hingga memberi implikasi kepada kewangan mereka.

Mohd Noor mendakwa ‘kluster’ itu diwakili individu yang gagal memperoleh dana kerajaan atas kelemahan sendiri, pihak tidak berkepentingan tetapi menangguk di air keruh serta golongan ‘lalang’ yang dihasut ahli Kluster Persatuan dan Kluster Batu Api.

Mohd Noor memberitahu, empat ‘kluster’ terbabit menjadikan FINAS sebagai ‘punching bag’ atau tempat melepaskan amarah apabila timbul isu penambahbaikan Padu Citra dan larangan aktiviti penggambaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Apa sahaja FINAS buat semua tidak betul dan tidak kena pada mata mereka. Tolonglah jangan kacau kerja mereka (Zakaria dan Ahmad Idham), sebaliknya, lihat dan pandang pada hasil yang dicapai sejak 10 bulan lalu.

“Masuk akalkah hendak menyingkir orang yang buat kerja dan patuh kepada peraturan?

“Mereka seolah-olah cuba menarik ‘hidung’ FINAS. Apabila kehendak mereka tidak dipenuhi, jadi timbullah cubaan menggulingkan pemimpin FINAS,” katanya kepada BH Online.

Mohd Noor berkata, di bawah pengurusan baharu, sekurang-kurangnya 11 inisiatif FINAS sudah dinikmati pemain industri tanpa sikap ‘pilih bulu’ atau ‘pintu belakang’.

“Mereka yang benar-benar layak sahaja mendapat manfaat FINAS. Ini sama dalam isu Padu Citra di mana apa yang FINAS cuba lakukan hanyalah untuk membetulkan syarat,” katanya.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri menjadi mangsa serangan kumpulan minoriti yang melancarkan kempen menghasut penggiat seni. – Foto IG Ahmad Idham

Mohd Noor mendakwa ketika Padu Citra diperkenalkan pada 1997, berlaku kesilapan di mana pengurusan FINAS ketika itu mewajibkan pemain industri berdaftar dengan persatuan masing-masing.

“Jika dilihat, syarat itu bercanggah dengan Akta FINAS 1981 di mana menjadi suatu kesalahan memaksa penggiat seni menjadi ahli persatuan.

“Barangkali sedar dengan kesilapan itu, pengurusan sekarang cuba membetulkannya hingga ada pihak kurang senang,” katanya.

Mohd Noor berkata, syarat baharu Padu Citra 2.0 menetapkan penerbit tidak perlu melalui Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) untuk mendapatkan Surat Perakuan Penggambaran (SPP).

Kesannya, dakwa Mohd Noor, tiga persatuan terbabit yang tidak lebih daripada berfungsi sebagai ‘plaza tol’, mula tergugat.

“Untuk mendapatkan SPP, penerbit perlu membuat bayaran kepada persatuan. Peranan persatuan ini tidak lebih sekadar ‘plaza tol’… Mereka hanya kutip bayaran daripada penerbit.

“Jika kita rujuk Akta FINAS 1981 atau Akta 244, ia boleh menjadi suatu kesalahan dan boleh disaman.

“Namun, ramai tidak sedar. Saya mula sedar perkara ini selepas kekecohan timbul dan saya buat kajian,” katanya.

Mohd Noor berkata, persatuan terbabit boleh mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada dakwaan salah laku dalam kalangan pengurusan tertinggi, bukannya ‘menjaja’ cerita dan memburukkan mereka.

Mengenai syarat baharu Padu Citra membenarkan permohonan SPP dibuat terus kepada FINAS, Mohd Noor berkata, langkah itu memudahkan penerbit.

“Sebelum ini, syarat itu menyusahkan syarikat produksi yang perlu memanjat satu pejabat ke pejabat lain bagi urusan SPP,” katanya yang turut menyambut baik Program Akreditasi dan Pentauliahan Industri Kandungan Kreatif sebagai langkah meningkatkan tahap profesionalisme penggiat seni.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373