Filem Adoiii Jiwaku papar hubungan harmoni antara kaum di Malaysia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Terkesan dengan sikap segelintir ahli politik yang didakwa menjadi punca perpecahan kaum di Malaysia, mendorong pelakon dan pengarah, Steve Yap menghasilkan filem Adoiii Jiwaku yang bakal menjengah pawagam mulai 7 September ini.

Yap, 51, berkata, isu perkauman yang sering dibangkitkan golongan terbabit membuatkan dirinya tidak selesa.

Justeru, Yap memilih menghasilkan filem sulung dengan mengetengahkan kisah persahabatan antara kaum Melayu, Cina dan India agar penonton lebih memahami antara satu sama lain.

“Sebagai orang Malaysia, saya sudah lalui banyak pilihan raya dan memang ada nampak banyak salah faham dalam kalangan ahli politik.

“Mereka suka mainkan isu kaum dan agama untuk memecahkan kita. Jadi, perkara itu buat saya sakit hati.

“Saya tahu dalam kalangan masyarakat, kita semua tiada masalah dan yang bermasalah itu adalah ahli politik.

“Jadi, saya fikir bagaimana boleh tolong untuk membuatkan masyarakat lebih memahami antara satu sama lain,” katanya pada sidang media malam gala filem Adoiii Jiwaku di Pavilion Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Yap yang bertindak selaku pelakon utama berkata, idea untuk menghasilkan filem Adoiii Jiwaku timbul selepas menonton filem Sepet arahan Yasmin Ahmad pada 2005.

Bagaimanapun, beliau terpaksa memendam hasratnya selama lebih 10 tahun kerana tidak ada pelabur atau penerbit yang berani mengangkat naskhah berkenaan.

“Sebenarnya idea untuk terbitkan filem ini timbul lebih 10 tahun lalu, tapi dalam tempoh itu tiada pelabur atau penerbit yang berani.

“Semua beri pelbagai alasan banyak perkara yang tidak boleh sekiranya mahu terbitkan filem ini.

“Selepas pertukaran kerajaan pada 2018, ada pelabur yang sanggup membantu walaupun dengan bajet tertentu sahaja yang mampu diberi.

“Banyak juga cabaran untuk hasilkan filem ini. Antaranya saya pernah ditipu termasuk kesukaran mendapatkan pelakon,” katanya.

Biarpun wujud babak atau dialog sensitif, Yap menjelaskan, dia menyelitkan elemen komedi supaya mampu membuatkan penonton ketawa dan menerimanya dengan baik.

“Ini termasuk menggunakan tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Mandarin bagi menampilkan keunikan dan kepelbagaian masyarakat di Malaysia,” katanya.

Selain Yap, filem terbitan Lomo Pictures dengan kerjasama MM2, MCM Cometro, Ant3, Fortune Studios dan Shinjuru itu menampilkan Ali Arami, Allahyarham Adibah Noor, Amber Chia, E Ramanamohan, Anuar Abd Hamid, Daniel Sher serta ramai lagi.

Filem berkisarkan tiga rakan sekerja iaitu Sia lakonan Yap, Ayis (Ali) dan Malesh (Mohan) yang berlainan bangsa bekerja di sebuah hotel. Disebabkan personaliti dan perspektif yang berbeza terutama membabitkan kerja, mereka sering bertelagah.

Dalam satu peristiwa yang bermula dengan gurauan di pejabat, berlaku renjatan elektrik sehingga menyebabkan Sia dan Ayis bertukar badan. Mereka bertiga kemudian mencari jalan penyelesaian bersama.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373