‘Final pertama’ Piala FA malam ini

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Aksi Liga Super antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini ibarat pertembungan praperlawanan akhir Piala FA.

Ia kerana selepas pertembungan itu, skuad Penyu dan Harimau Selatan sekali lagi akan berentap di pentas final Piala FA yang dijangka berlangsung pada hujung bulan ini.

Perlawanan malam ini tetap menjadi aksi penting buat kedua-dua pasukan dengan TFC dalam usaha memperbaiki kedudukan dalam liga, manakala JDT pula mahu mengukuhkan cengkaman mereka di tangga teratas.

Ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain dan pengendali JDT, Hector Bidoglio memikul tugas besar kerana selain perlu mempersiapkan skuad terbaik untuk perlawanan itu, mereka juga harus menyimpan beberapa senjata rahsia untuk digunakan pada final Piala FA nanti.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan, TFC sebenarnya sudah lama tidak menjinakkan JDT di gelanggang sendiri selepas kali terakhir menang 1-0 pada Oktober 2018 dalam aksi Piala Malaysia.

Namun, skuad Penyu pernah mengalahkan Harimau Selatan dalam saingan Liga Super musim lalu di gelanggang lawan dan ia mungkin boleh dijadikan sandaran bahawa mereka memiliki keupayaan untuk mengatasi juara bertahan lapan kali berturut-turut itu.

Nafuzi perlu merencana strategi terbaik sekiranya mahu menamatkan badi hampir empat tahun TFC tidak menang ke atas JDT di gelanggang sendiri kerana jika mengambil kira ketika aksi separuh akhir berdepan Selangor, Sabtu lalu, skuad Penyu tampak terpaksa bekerja keras sebelum menang menerusi penentuan penalti.

Bagi JDT pula, aksi di gelanggang lawan dilihat bukan masalah besar untuk mereka walaupun puluhan ribu penyokong TFC sekali lagi dijangka akan membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Mengambil kira aksi konsisten dan menjadi pasukan tunggal yang masih belum tewas sepanjang musim ini, ia meletakkan Harimau Selatan sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan itu.

Anak buah Bidoglio bagaimanapun perlu mengelak daripada sikap terlampau yakin kerana jika silap percaturan, rekod tanpa kalah mereka musim ini boleh dileburkan skuad Penyu.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373