G Capital, TNB meterai perjanjian pembelian tenaga 21 tahun

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: G Capital Bhd (GCAP) menjangka meraih potensi perolehan sebanyak RM688 juta bagi tempoh lebih 21 tahun menerusi perjanjian pembelian kuasa tenaga boleh baharu (REPPA) dengan jumlah kapasiti 26 megawatt (MW) oleh anak syarikat milik penuhnya Northern Star Hydropower Sdn Bhd (NS Hydropower) dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Pengarah Eksekutif GCAP, Datuk Yap Yee Ping, berkata ramalan perolehan itu adalah berdasarkan anggaran pengeluaran elektrik tahunan berjumlah 142.72 gigawatt-jam daripada pelaburan bagi kos projek kira-kira RM300 juta.

“Kami teruja untuk melaksanakan sumbangan bermakna ini ke arah matlamat kelestarian Malaysia. Ini adalah perkembangan penting bagi kami kerana melambangkan dedikasi kami terhadap kelestarian dan tenaga bersih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut penyedia penyelesaian RE itu, NS Hydropower memperoleh empat REPPA dengan TNB, yang terdiri daripada empat loji hidrokuasa kecil di Pahang yang terletak di Hulu Dong (12.5 MW) dan Batu Talam (13.5MW).

Katanya, setiap REPPA adalah untuk tempoh 21 tahun daripada tarikh operasi komersial dengan operasi dijadualkan bermula pada 6 Disember 2027.

“Menerusi perjanjian ini, TNB akan membeli tenaga elektrik daripada NS Hydropower pada kadar Tarif Galakan (FiT) RM0.2298 bagi setiap kilowatt-jam,” katanya.

NS Hydropower adalah pemegang Sijil Kelulusan Galakan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia bagi loji itu, katanya.

– BERNAMA

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373