Gangguan teknikal daftar vaksin, CITF mohon maaf

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) memohon maaf susulan gangguan teknikal ketika pusingan kedua tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca secara sukarela dibuka, hari ini.

Keadaan itu menyebabkan pengguna berdepan kesukaran mengakses beberapa ciri di laman sesawangnya ketika permohonan dibuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

Susulan itu, CITF memandang serius masalah teknikal dihadapi dan tindakan akan diambil kepada pihak yang berkenaan demi kepentingan awam dan negara.

“Kami mengambil maklum ramai rakyat berminat untuk divaksin tetapi gagal membuat tempahan.

“Sekali lagi diingatkan, individu yang sudah berdaftar di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan tetap mendapat suntikan vaksin menerusi PICK, terutamanya apabila kadar vaksinasi ditingkatkan dalam tempoh mendatang.

“Kami memohon maaf di atas segala kesulitan dihadapi dan sentiasa terbuka untuk sebarang maklum balas serta teguran daripada semua pihak,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Terdahulu, sebanyak 956,609 tempahan bagi penduduk berusia 18 tahun ke atas sudah dipenuhi ketika pusingan kedua tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca secara sukarela, hari ini.

Sementara itu, CITF juga berterima kasih di atas sambutan baik orang ramai yang sudah menjalankan tanggungjawab bagi memastikan negara mencapai imuniti kelompok seperti disasarkan.

“Inisiatif yang dibuka kepada penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak habis ditempah dalam masa kira-kira sejam selepas dibuka.

“Sebanyak 1,261,000 dos ditawarkan, yang mana 275,208 dos ditempah warga emas ketika inisiatif ini dibuka mulai 23 Mei hingga hari ini.

“Sementara itu, seramai 29,183 orang dalam senarai menunggu vaksin Astrazeneca sebelum ini dimasukkan ke dalam senarai giliran kali ini,” katanya.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373