Geng Mizan aktif 15 kes pecah rumah dicekup polis

Estimate Reading Time: 2 minutes

ALOR SETAR: Ahli kumpulan Geng Mizan yang dipercayai aktif dalam 15 kes pecah rumah dan kedai di sekitar negeri ini, Perak dan Pulau Pinang berjaya ditahan polis.

Tujuh suspek kumpulan itu termasuk seorang wanita ditahan bermula 20 Mei lalu berikutan kejadian kes pecah sebuah premis perniagaan di kawasan Bedong, Sungai Petani yang membabitkan kerugian kira-kira RM25,000.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata kesemua suspek berusia antara 25 hingga 52 tahun.

Beliau berkata, pihaknya sedang memburu tiga suspek termasuk dalang kumpulan itu yang dikenali sebagai Mizan berusia 43 tahun manakala seorang lagi berusia 42 tahun dan seorang lagi belum dikenal pasti.

“Modus operandi kumpulan ini adalah dengan menyasarkan rumah kosong di kawasan perumahan dan melakukan intipan berminggu-minggu sebelum melakukan pecah masuk.

“Suspek masuk menggunakan cara mengumpil pintu kayu di bahagian belakang premis sebelum melarikan barangan terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini

Wan Hassan berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil daripada kejadian itu serta dua plastik berisi ketulan jernih kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine, sebuah kereta Proton Perdana yang disyaki digunakan dalam kejadian itu bersama beberapa peralatan pecah rumah.

Beliau berkata, selain itu pihaknya turut merampas peti besi yang disyaki hasil daripada jenayah pecah Istana Hinggap di Taman Tunku Sarina, Jitra pada 26 Mei lalu.

“Dengan penahanan kesemua suspek ini, polis berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah dan kedai yang aktif di utara Semenanjung iaitu 13 di Kedah dan masing-masing satu kes di Pulau Pinang dan Perak.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234).

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda,” katanya.

Wan Hassan berkata, kesemua tangkapan mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah serta masih direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, enam suspek lelaki yang ditahan didapati positif dadah jenis Methamphetamine manakala wanita terbabit negatif dadah.

“Mereka dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu dan melakukan jenayah di sekitar Kuala Muda, Kota Setar dan Kubang Pasu.

“Kerugian keseluruhan kes pecah rumah yang dilakukan mereka dianggarkan lebih RM100,000,” katanya.

-Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373