Graduan perubatan beralih kerja lain akibat penangguhan latihan amali

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Selepas 5 tahun belajar di sekolah perubatan, Pang Kah Junn akhirnya mendapat ijazah sarjana muda dalam bidang perubatan dan pembedahan, serta sedang memohon untuk menjalani latihan amali.

Beliau perlu menjalani saringan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), namun graduan Universiti Tunku Abdul Rahman itu tidak tahu berapa lama beliau perlu menunggu untuk ditempatkan di hospital kerajaan bagi menjalani latihan amali.

Pang antara hampir 2,000 graduan perubatan, farmasi dan pergigian yang lulus saringan SPA dan sedang menunggu untuk menjalani latihan amali di hospital kerajaan.

Mendengar berita daripada seniornya beliau mungkin perlu menunggu selama 10 bulan atau lebih, Pang mula mencari pekerjaan untuk mendapat wang saku buat sementara.

Beliau bagaimanapun bimbang akan lupa ilmu perubatan dan kemahiran praktikalnya jika tidak diamalkan.

“Sudah tentu saya boleh tingkatkan kemahiran semasa menjalani latihan amali, tetapi berbeza jika dibandingkan dengan memulakannya sebaik saja tamat pengajian,” katanya kepada FMT.

Graduan farmasi, Jocelyn Ong, yang tahu beliau akan menunggu lama untuk menjalani latihan amali, mula bekerja sebagai pembantu farmasi di sebuah klinik sejak menamatkan pengajian di Universiti UCSI pada Julai lalu.

“Saya harap latihan saya sebagai PRP (ahli farmasi berdaftar sementara) akan bermula secepat mungkin. Saya mahu dihantar ke Malaysia Timur kerana kebanyakan orang tidak mahu bekerja di sana dan berebut tempat di KL.”

Bagi membantu menangani masalah itu, Kementerian Kesihatan menambah peluang latihan bagi graduan daripada 10,835 menjadi 12,153, meningkatkan jumlah hospital untuk latihan graduan daripada 38 kepada 49 buah serta daripada 5 kepada 9 bidang alternatif.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr N Ganabaskaran melihat usaha meningkatkan peluang latihan itu sebagai penyelesaian jangka pendek kerana ia hanya mampu menyelesaikan tunggakan graduan yang sedang menunggu.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengawal jumlah graduan perubatan yang boleh diterima sistem itu.

“Kita sedang melihat hasil keputusan yang dibuat pada akhir 1990-an dan awal 2000-an untuk meningkatkan jumlah sekolah perubatan di negara ini dan meningkatkan jumlah lulusan penjagaan kesihatan setiap tahun.

“Kita menyaksikan pertambahan kolej dan universiti penjagaan kesihatan pada masa itu dan ini adalah punca masalah kita sekarang,” katanya kepada FMT.

Ganabaskaran memuji kerajaan menetapkan moratorium untuk penubuhan sekolah perubatan baru pada 2010 dan langkah itu perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya 10 tahun lagi kerana Malaysia mempunyai lebih banyak sekolah perubatan per kapita berbanding Australia dan Britain.

“Kita perlu mencari jalan memasarkan sekolah perubatan kita ke negara lain. Taraf pendidikan perubatan kita tinggi.”

Beliau meminta jumlah sekolah perubatan di luar negara yang diiktiraf kerajaan dikurangkan daripada 400 kepada 100 dan meningkatkan moratorium pengambilan baru untuk penjagaan kesihatan bagi memastikan kakitangan mencukupi untuk memenuhi keperluan kesihatan buat penduduk yang semakin meningkat.

Ganabaskaran turut menggesa Kementerian Kesihatan mempertimbangkan lanjutan kontrak pegawai perubatan kepada kira-kira 10 tahun untuk membolehkan latihan pakar dan kemajuan kerjaya.

Pengerusi kumpulan perubatan, Malaysian Medics International, Dr Vikkineshwaran Siva Subramaniam menyokong cadangan Ganabaskaran kerana negara kekurangan pakar perubatan.

“Ini adalah isu sistemik yang mempunyai masalah di pelbagai peringkat. Kita tidak ada pakar yang mencukupi. Jadi, kita tidak dapat melatih doktor yang mencukupi. Disebabkan itu, kita tidak dapat membenarkan doktor yang mencukupi menjadi pakar. Ini adalah kitaran yang tidak pernah berakhir buat masa ini.

“Untuk doktor junior yang kontraknya berakhir selepas 2 tahun, akan ada banyak batasan bagi mereka di sektor swasta kerana pesakit memilih untuk dirawat pakar berpengalaman.”

Katanya, kerajaan perlu mencari jalan untuk memastikan graduan mendapat latihan menyeluruh dengan menangani pelbagai kes perubatan yang bukan sekadar sakit perut dan selesema saja.

“Sekiranya kita ambil ramai doktor, mereka tidak akan mendapat latihan optimum. Itu bertentangan tujuan latihan amali. Kualiti lebih penting daripada kuantiti.”

-FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373