Haruan makan anak mengaku tak bersalah

Estimate Reading Time: < 1 minute

ALOR SETAR: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan merogol anak kandungnya berusia 16 tahun antara 2016 dan 2017.

Tertuduh berusia 52 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya yang ketika itu berusia 16 tahun di bilik air sebuah rumah di Kampung Paya Sena, Pendang pada jam 2.30 petang, Disember 2016.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama di bilik tidur rumah mereka terhadap mangsa jam 4 petang, Disember 2016.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kesalahan berulang di bilik tidur di rumah sama terhadap anaknya yang ketika itu berusia 17 tahun jam 9 pagi, Februari 2017.

Mangsa hanya membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan pada Januari tahun ini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 36(1) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha, manakala tertuduh diwakili peguam A Surendran.

Pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 untuk tiga pertuduhan berkenaan.

Tertuduh turut diarahkan untuk melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 27 Ogos ini. Tertuduh membayar ikat jamin berkenaan.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373