Henti aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas – KPM

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Semua institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diarah menghentikan segala aktiviti luar bilik darjah membabitkan murid sekiranya kawasan masing-masing mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

Susulan itu juga, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan di bawah KPM turut diarah melaksanakan langkah pencegahan, selain memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.

KPM melalui kenyataan hari ini berkata, semua institusi pendidikan di bawah KPM juga perlu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.

“Menasihati dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan, membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman.

“Sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas,” katanya.

KPM memaklumkan pihaknya sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca yang di luar jangkaan.

Katanya, cuaca panas yang melanda negara juga turut menyebabkan beberapa lokasi menunjukkan bacaan IPU pada paras tidak sihat.

“Semua institusi pendidikan bawah KPM dinasihati agar sentiasa mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.

“Institusi pendidikan juga perlu peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena berjerebu di kawasan atau daerah masing-masing, selain mematuhi saranan Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid dan pelajar serta warga institusi pendidikan.

“KPM mengambil berat kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya,” katanya. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373