Hospital swasta mampu jadi ‘pelengkap’ kendalikan suntikan imunisasi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kelulusan untuk hospital swasta membuat perolehan vaksin dan menawarkan suntikan pelalian mampu menjadi pemangkin ke arah mencapai imuniti kelompok.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh, ketika mengetengahkan cadangan sedemikian, berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mengambil tempoh yang amat lama dan hanya dijangka berakhir pada Februari tahun depan.

Sehubungan itu, katanya, rantaian masalah berkaitan peluang mendapatkan vaksin, jenis pelalian, pasport imuniti dan kepincangan proses keutamaan untuk golongan tertentu bakal timbul.

“Hospital swasta boleh digerakkan untuk membantu usaha kerajaan dalam memberikan suntikan pelalian

“Ini termasuk menerusi penggunaan saluran yang diluluskan kerajaan dan sistem pengesanan bagi menubuhkan pangkalan data mengenai peruntukan pelalian.

“Setiap individu yang menerima suntikan vaksin di hospital swasta bermaksud ia membantu meringankan bebanan tugas kerajaan dalam memberikan pelalian.

“Mekanisme yang mampu digunakan ialah hospital swasta akan mengenakan surcaj kepada setiap suntikan dan ia disalurkan kepada dana digunakan kerajaan bagi menawarkan vaksin secara percuma untuk masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, semalam dilaporkan berkata sebarang perolehan vaksin oleh entiti swasta perlu mendapatkan kelulusan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA).

Bagaimanapun, kerajaan setakat ini tidak menerima sebarang permohonan bagi tujuan itu, selain yang diluluskan kepada Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) bagi mengendalikan proses pengisian dan pembotolan vaksin Sinovac.

Dr Kuljit turut berpendirian, bahawa prestasi untuk mencapai imuniti kelompok berupaya dilipat gandakan sekiranya orang ramai diberi kebebasan untuk memilih jenis vaksin.

“Kita faham jika ini diberikan dalam program imunisasi kebangsaan, ia mampu mencetuskan isu logistik, tetapi menerusi bantuan daripada hospital swasta, ‘kelebihan’ ini mampu ditawarkan.

“Selain itu, seiring usaha menghidupkan semula ekonomi dan menghapuskan sekatan perjalanan, pasport imuniti berkemungkinan diperkenalkan di seluruh dunia.

“Tetapi, mungkin ada sesetengah negara yang hanya mengiktiraf pengambilan vaksin tertentu, justeru isu sebegini dijangka timbul pada masa akan datang, termasuk membabitan jemaah haji dan umrah.

“Kami juga bimbang dengan komuniti diplomatik dan ekspatriat yang mempunyai keperluan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain, tetapi mereka hanya layak mendapat suntikan vaksin menjelang fasa ketiga,” katanya.

Berikutan kekangan waktu dan isu logistik, Dr Kuljit berkata hospital swasta berupaya menjadi ‘pelengkap’ usaha kerajaan untuk mengendalikan suntikan imunisasi dalam kalangan 80 peratus penduduk di Malaysia.

Menerusi kerjasama strategik itu, katanya, hospital swasta mampu menawarkan suntikan vaksin di tempat kerja, dengan keseluruhan program dibiayai majikan masing-masing.

“Diharapkan rayuan daripada hospital swasta tidak disisihkan kerana ia bukan bertujuan untuk mengaut keuntungan, sebaliknya demi membantu segenap usaha kerajaan dalam menyediakan suntikan pelalian.

“Ketika ini, wujud permintaan yang sangat tinggi dalam kalangan masyarakat supaya hospital swasta mampu menawarkan suntikan vaksin.

“Malah, pendekatan sebegini dapat menangani isu langkau giliran bagi mendapatkan suntikan vaksin, selain menjamin hak mana-mana individu untuk segera mendapatkan pelalian COVID-19,” katanya. -BERITA HARIAN

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373