Hujan bantu pulihkan kualiti udara di seluruh negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Hujan di kebanyakan kawasan di seluruh negara, semalam, membantu memulihkan kualiti udara negara apabila tiada negeri mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, pagi ini.

Berdasarkan maklumat di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), setakat jam 9 pagi ini, semua kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU tahap sederhana.

Ini termasuk Johan Setia di Selangor dan Kota Bharu, Kelantan, yang sebelum ini mencatat IPU tidak sihat. Kedua-dua lokasi ini mencatat IPU sederhana, sejak malam tadi.

Kedua-dua lokasi terbabit mencatatkan bacaan IPU, masing-masing 84 dan 85, pada jam 9 pagi ini.

Seremban di Negeri Sembilan mencatatkan bacaan tertinggi iaitu IPU 88, diikuti Segamat, Johor (87) dan Samalaju, Sarawak (86).

Turut mencatatkan IPU sederhana adalah di Minden, Pulau Pinang dengan IPU 85; Kuala Selangor (83); Shah Alam dan Petaling Jaya di Selangor dan Seberang Perai, Pulau Pinang, masing-masing IPU 82, diikuti Klang dengan bacaan 81.

Kawasan lain di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU antara 79 dan 53.

Untuk rekod, bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara yang baik; IPU 51 hingga 100 (sederhana); 101 ke 200 (tidak sihat); 201 ke 300 (sangat tidak sihat) serta 300 dan ke atas (berbahaya).

Terdahulu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, jerebu dijangka lebih serius tahun ini berbanding dalam tempoh tiga tahun lalu apabila aktiviti perladangan dan industri kembali beroperasi seperti sedia kala. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373