Imigresen terbuka kepada siasatan SPRM demi ketelusan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menyerahkan sepenuhnya siasatan berkaitan dakwaan segelintir kakitangannya terbabit rasuah serta pelanggaran integriti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata pihaknya merujuk beberapa laporan berita diterbitkan hari ini, yang mengaitkan dakwaan itu.

“Kita sentiasa berhubung, berbincang dan berkongsi maklumat dengan SPRM untuk membantu proses siasatan lebih telus tanpa sebarang gangguan daripada pihak luar.

“Dalam konteks ini, Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang didapati terbabit dengan salah laku rasuah sama ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau mana-mana Pejabat Imigresen di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, jika ada pegawai imigresen didapati bersalah dengan dakwaan berkenaan, JIM tidak akan melindungi mereka.

“Malah, kami akan mengambil tindakan di peringkat jabatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kami komited menambah baik prosedur operasi standard (SOP) untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan pelawat warga asing yang memasuki Malaysia,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan SPRM memandang serius isu rasuah yang dikatakan berlaku dalam insiden membabitkan seorang warga China di KLIA, baru-baru ini.

Menurut sumber yang dipetik berkata, satu siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengesahkan perkara itu dengan tiga keterangan saksi termasuk Menteri yang terbabit dan dua orang saksi utama warga China sudah diambil pihak SPRM.

Katanya, beberapa pegawai Imigresen yang terbabit juga akan dipanggil untuk diambil keterangan berhubung perkara itu.

Malah, SPRM sudah mengenal pasti seorang individu disyaki menjadi orang tengah dalam urusan ‘menyelesaikan’ kes membabitkan seorang pelancong asing yang dikatakan tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini sebagaimana ditetapkan.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, mendakwa tindakan beliau ke KLIA bagi membongkar ‘peristiwa’ memalukan, selain mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik di pintu masuk negara.

Malah, King Sing mengakui gambar tular di media sosial berhubung isu itu adalah dirinya dan beliau mengatakan ada menerima aduan daripada pelancong sebelum ke KLIA bagi memahami situasi pelancong asing itu selain ia pemantauan biasa bagi seorang menteri untuk turun padang.

Terdahulu, media melaporkan seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan pelawat China yang ditahan Imigresen, baru-baru ini.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila menteri terbabit dikatakan masuk ke ruangan itu tanpa memohon pas keselamatan.

Perbuatannya dipercayai bagi ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373