Individu bawa jemaah tanpa permit haji ke Makkah berdepan penjara, denda

Estimate Reading Time: < 1 minute

JEDDAH: Direktorat Am Keselamatan Awam Arab Saudi memberi amaran mana-mana individu yang dikesan melanggar peraturan haji dengan membawa jemaah tanpa permit ke kota suci Makkah berdepan hukuman penjara dan denda.

Menurut direktorat itu, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tempoh enam bulan dan denda sehingga SR50,000 (RM62,899) bagi setiap individu yang dibawa.

“Denda boleh meningkat berkali ganda selari dengan bilangan individu yang dibawa.

“Pesalah turut berdepan hukuman kenderaan yang digunakan untuk membawa mereka ke Makkah dirampas berdasarkan keputusan mahkamah,” katanya.

Pada masa sama menurut direktorat itu, sekiranya kes membabitkan orang luar, mereka akan diusir keluar selepas menjalani hukuman penjara dan denda.

Orang luar atau ekspatriat itu juga akan disenarai hitam daripada memasuki Makkah bagi tempoh yang diputuskan oleh mahkamah.

Sementara itu, pihak keselamatan awam meminta rakyat dan penduduk supaya mematuhi peraturan haji dan umrah, selain meminta mereka berwaspada terhadap kempen haji palsu.

Justeru, mereka meminta orang ramai untuk melaporkan sebarang maklumat berhubung kempen berkenaan dengan menghubungi nombor 911 di wilayah Makkah, Riyadh dan Wilayah Timur serta 999 di wilayah lain.

– AGENSI

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373