Israel tidak mahu bantuan ke Gaza melalui Hamas

Estimate Reading Time: < 1 minute

BAITULMAQDIS: Kementerian Pertahanan Israel semalam menolak bantuan bagi pembangunan semula Semenanjung Gaza melalui Hamas, sebaliknya dibuat menerusi mekanisme antarabangsa yang disampaikan secara terus kepada penduduk.

Israel menyifatkan langkah itu perlu diambil bagi mengetepikan peranan Hamas.

Menurut pegawai kementerian yang tidak dibenarkan menyentuh isu itu secara terbuka itu, bantuan kepada Gaza mesti diuruskan tanpa menimbulkan sebarang ancaman kepada Israel.

Katanya, bantuan yang disalurkan mesti melalui pihak berkuasa Palestin yang berpusat di Tebing Barat.

Tambahnya, mereka pernah bekerjasama dengan Hamas sebelum ini untuk menyampaikan sumbangan kepada Gaza.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari sebelum Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken mengunjungi wilayah itu.

Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dalam satu kenyataan, memaklumkan kunjungan Blinken antaranya bagi memastikan usaha antarabangsa untuk menyalurkan bantuan segera kepada Gaza sampai terus kepada penduduk di sana.

Pertempuran terbaharu itu memuncak selepas 10 Mei selama 11 hari dengan menyaksikan jet Israel membedil Gaza melalui serangan udara, dibalas dengan lebih 4,000 roket oleh pejuang Hamas.

Serangan Israel memusnahkan infrastruktur di Gaza dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 6,000 orang kehilangan tempat tinggal, kata agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Susulan serangan itu, kira-kira 800,000 penduduk tiada akses kepada bekalan air bersih.

Mesir berjanji memperuntukkan AS$500 juta (RM2.1 bilion) untuk menyokong pembangunan semula Gaza, sementara Dana Bantuan Kecemasan Pusat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyalurkan AS$18.5 juta (RM76.6 juta) bagi tujuan sama.

Untuk rekod, Israel mengenakan sekatan darat dan laut di Gaza selepas Hamas menguasainya pada 2007.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373