Isu surat layang: Mangsa ugutan, gangguan seksual diminta lapor polis

Estimate Reading Time: < 1 minute

IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak meminta mangsa yang mendakwa menerima ugutan serta gangguan seksual yang dikaitkan dengan isu surat layang tular membabitkan kakitangan perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) supaya membuat laporan polis.

Pengarah JKN Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata mangsa perlu mengemukakan bersama bukti serta saksi untuk siasatan lanjut.

Jawatankuasa Siasatan Bebas yang ditubuhkan susulan kes surat tular itu bagaimanapun sudah selesai melaksanakan siasatan berhubung kes gangguan seksual dan ugutan itu, selain laporan jawatankuasa siasatan itu juga sudah dikemukakan kepada pihaknya.

Dr Feisul berkata, laporan yang dikemukakan itu untuk dibincangkan di peringkat ibu pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan pembabitan Unit Integriti KKM.

“Jawatankuasa mendapati ada perkara lain yang perlu siasatan lanjut dan ia akan dilaksanakan.

“Selaras dengan polisi toleransi sifar terhadap gangguan seksual di tempat kerja, anggota KKM yang menjadi mangsa disarankan untuk membuat laporan polis.

“Selain itu, anggota KKM juga boleh melapor sebarang bentuk buli di tempat kerja melalui sistem MyHelp KKM yang boleh dicapai di https://myhelp.spab.gov.my,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai langkah penambahbaikan, JKN Perak sudah mengadakan sesi libat urus dengan pakar perubatan, pegawai perubatan dan pegawai perubatan siswazah di HRPB.

Pada 26 Mac lalu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata polis belum menerima laporan mana-mana mangsa berkaitan isu surat layang tular terbabit yang dikatakan diterima melalui pos pada 28 Februari lalu.

Mohd Yusri dilapor berkata sebaliknya, laporan polis mengenai isu itu hanya diterima daripada lima doktor yang nama mereka dikaitkan dengan tohmahan surat layang terbabit.

-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment