Ivory Coast kejutkan juara bertahan Senegal

Estimate Reading Time: 2 minutes

ABIDJAN: Tuan rumah Ivory Coast mengejutkan Senegal pada Piala Negara-Negara Afrika awal pagi tadi, menyingkirkan juara bertahan menerusi penentuan penalti pada pusingan 16 terakhir sekali gus menghidupkan peluang mereka memenangi kejuaraan di laman sendiri.

Seminggu lalu Ivory kelihatan akan tersingkir secara mengaibkan daripada peringkat kumpulan namun kini mereka layak ke suku akhir selepas menundukkan Senegal 5-4 menerusi penentuan penalti susulan perlawanan yang berakhir 1-1 pada hujung masa tambahan.

The Elephants mara ke pusingan kalah mati dengan rekod terburuk dalam kalangan empat pasukan tangga ketiga terbaik, selepas menamatkan pusingan pertama dengan kekalahan memilukan 4-0 di tangan Equatorial Guinea, kekalahan terbesar mereka di halaman sendiri.

Mereka kemudian memecat jurulatih veteran dari Perancis, Jean-Louis Gasset namun gagal memujuk bekas bos Herve Renard untuk kembali dengan kontrak jangka pendek.

Sebaliknya bekas pemain Emerse Fae dilantik secara sementara, berharap untuk membangkitkan semula semangat pasukan itu berdepan aksi getir menentang penyandang juara.

Ia kelihatan petang yang mengecewakan buat Ivory Coast di Yamoussoukro apabila Senegal mendahului seawal minit keempat menerusi Habib Diallo yang menyempurnakan hantaran lintang Sadio Mane dari sebelah kiri.

Bagaimanapun Ivory mendapat sepakan penalti empat minit sebelum tamat, semakan VAR menunjukkan Nicolas Pepe diterjah oleh penjaga gol Senegal, Edouard Mendy.

Franck Kessie yang beraksi dengan kelab Arab Saudi, Al-Ahli dan diketepikan ke bangku simpanan ketika sepak mula, menyempurnakan sepakan penalti itu untuk memaksa masa tambahan.

Dengan tiada lagi jaringan, ia berakhir dengan penentuan sepakan penalti dan pemain Senegal, Moussa Niakhate satu-satunya pemain yang gagal menyempurnakan sepakannya yang terkena palang.

Kessie kemudian meledak masuk penalti penentuan untuk membawa Ivory Coast ke suku akhir menentang sama ada Mali atau Burkina Faso di bandar Bouake Sabtu ini.

“Kami terlalu gembira,” kata penyerang Ivory Coast, Sebastien Haller kepada hos penyiar Canal Plus Afrique.

“Beberapa hari terakhir tidak mudah tetapi kami perlu percaya dengan keupayaan sendiri.”

Senegal terkeluar selepas muncul satu-satunya pasukan yang menang semua tiga perlawanan di peringkat kumpulan dan penyingkiran mereka bermakna tiada pasukan juara bertahan melepasi pusingan 16 terakhir Piala Negara-Negara Afrika sejak Mesir menang bagi kali ketiga berturut-turut pada 2010.

Terdahulu, Cape Verde memenangi aksi pusingan kalah mati AFCON buat kali pertama dalam sejarah mereka apabila gol lewat Ryan Mendes menerusi sepakan penalti membantu mereka menang 1-0 ke atas Mauritania di Abidjan.

Perlawanan itu kelihatan menuju ke masa tambahan sebelum Cape Verde memenangi sepakan penalti apabila pemain gantian Gilson Tavares Benchimol dijatuhkan dalam kotak penalti oleh penjaga gol Mauritania, Babacar Niasse.

– AFP

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373