Jawatankuasa pemantau belanjawan perlu jadi penasihat

Estimate Reading Time: 2 minutes

Langkah Kementerian Kewangan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Belanjawan 2024 yang akan berfungsi menyemak dan mendapatkan maklum balas terhadap pelaksanaan perbelanjaan negara pada peringkat kementerian, jabatan dan agensi kerajaan adalah keputusan tepat.

Sebaiknya, jawatankuasa yang akan diketuai Menteri Kewangan itu juga perlu diperluaskan skop tanggungjawabnya seperti bertindak sebagai pemantau dalam pelaksanaan sesuatu projek serta perjalanan kontrak berisiko tinggi supaya dapat mencegah berlaku ketirisan.

Keanggotaannya juga perlu disertai tokoh berwibawa, selain Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta bebas daripada sebarang kepentingan dan dilantik daripada kalangan tokoh berintegriti tinggi, berwibawa serta berpengalaman.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), ketua setiausaha (KSU) setiap kementerian atau wakil, Ketua Audit Negara, ketua agensi kerajaan perlu dibabitkan dalam jawatankuasa ini kerana mereka antara individu yang mempunyai maklumat terhadap perbelanjaan kementerian, sekali gus memastikan setiap sen wang negara dibelanjakan mengikut jalan yang benar dan telus.

Untuk lebih adil, wakil ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang dan wakil Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah Parlimen turut dilantik menganggotai jawatankuasa pemantau itu untuk menjamin keberhasilan setiap perbelanjaan dikeluarkan.

Gabungan pemimpin serta tokoh terbabit dalam jawatankuasa berkenaan dilihat menonjolkan keseriusan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan reformasi institusi, mewujudkan tata kelola berintegriti, mencegah rasuah dan mengelak penyelewengan terhadap dana negara dibelanjakan untuk kepentingan rakyat.

Jawatankuasa pemantau ini juga patut meneliti perkembangan komitmen perbelanjaan diperuntukkan kepada setiap kementerian dan entiti kerajaan, sekali gus menjadi langkah memulihkan imej kerajaan pada mata rakyat serta lebih penting lagi meyakinkan pelabur asing.

Namun begitu, kewujudan jawatankuasa pemantau ini juga tidak sepatutnya menjadi beban kos kepada kerajaan atau pada masa sama menyukarkan pula peruntukan Belanjawan 2024 turun ke kementerian serta setiap agensinya. Apa yang penting, objektif utama perlu diberi tumpuan jawatankuasa pemantau ini adalah mengelak ketirisan dan penyelewengan.

Jawatankuasa ini juga perlu berperanan sebagai fasilitator dan penasihat, bukan semata-mata menjadi ‘polis’ untuk memastikan setiap inisiatif, insentif, projek dan agenda yang dirancang dalam Belanjawan 2024 berupaya dilaksanakan mengikut aspirasi dan prinsip Malaysia MADANI dan reformasi institusi.

Ini bermakna, setiap kementerian dan agensi perlu dipastikan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam penyaluran peruntukan atau bajet ditetapkan, memastikan projek dilaksanakan sampai dan dinikmati kepada golongan sasaran, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373