JPJ Terengganu keluar 1,234 saman sepanjang OP Raya

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA NERUS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan sebanyak 1,234 notis saman sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) 2023 yang bermula 18 April hingga semalam.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin, berkata jumlah itu meningkat berbanding operasi sama tahun lepas iaitu 1,040 notis saman.

Beliau berkata, kesalahan paling tinggi membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh iaitu 323 kes, tiada lesen memandu (313 kes) dan tiada perlindungan insurans (281 kes).

“Kesalahan lain termasuk menggunakan cermin gelap, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, memotong di garisan berkembar dan membawa lebih muatan.

“Sepanjang lapan hari Op HRA 2023, JPJ Terengganu telah melakukan pemeriksaan terhadap 5,606 kenderaan di seluruh negeri,” katanya selepas tamat Op HRA 2023 di sini, malam tadi.

Seramai 172 termasuk pegawai, anggota JPJ Terengganu serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat pada hari terakhir operasi berkenaan.

Zulkarnain berkata, selain notis saman, pihaknya turut menyita 20 kenderaan termasuk lima motosikal yang ditunggang warga asing tanpa lesen malam tadi.

Beliau berkata pihaknya sedang menyiasat sekiranya wujud sindiket di negeri ini yang menjalankan aktiviti menjual kenderaan kepada warga asing menggunakan nama penduduk tempatan atas pelbagai tujuan.

“Kita sedang siasat sebab kes ini semakin berleluasa … siap beri sewa kepada penduduk Rohingya. Kita kesan aktiviti ini dah lama, cuma sedang kumpul maklumat untuk diambil tindakan selanjutnya,” katanya. – BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373