JPN Perak mohon peruntukan laksana program tingkat kelulusan Bahasa Melayu, Sejarah

Estimate Reading Time: 2 minutes

BAGAN SERAI, 28 Sept — Jabatan Pendidikan Negeri Perak memohon peruntukan RM1 juta dalam bajet kerajaan negeri tahun hadapan bagi melaksanakan program meningkatkan pencapaian kelulusan pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria berkata langkah itu perlu bagi meningkatkan keputusan cemerlang pelajar bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Bagi SPM, sasaran kita pada tahun ini untuk mencapai kelulusan 88.02 peratus bagi Sejarah dan 94.03 bagi Bahasa Melayu. Kita menyediakan Modul Mudah Lulus (MULUS) dan Modul Cemerlang, Seminar SPM (Sejarah dan Bahasa Melayu) serta mengadakan bengkel insentif kepada pelajar di semua daerah di negeri ini,” katanya.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Program Bicara Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) di Kolej Vokasional Kerian di sini hari ini yang disertai lebih 50 guru penolong kanan di daerah itu.

Beliau berkata pencapaian pelajar SPM yang lulus dalam mata pelajaran Sejarah mencapai 85.44 peratus pada tahun 2018 dan 86.83 peratus pada 2019 manakala bagi pencapaian kelulusan dalam Bahasa Melayu adalah 91.67 peratus pada 2018 dan 93.03 peratus pada 2019.

Katanya, bentuk program yang bakal dilaksanakan menggunakan peruntukan itu akan dibincangkan dalam tempoh terdekat termasuk kemungkinan keperluan menyediakan bahan-bahan pembelajaran di kelas dan sebagainya.

“Beberapa sekolah akan dipilih untuk mengadakan program peningkatan dalam kedua-dua mata pelajaran berkenaan sebagai usaha meningkatkan pencapaian bagi Sejarah dan Bahasa Melayu,” katanya.

Dalam pada itu, Razman berkata promosi untuk menggalakkan pelajar mengikuti pengajian dalam TVET akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha kerajaan melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi bagi mengisi peluang pekerjaan di negara ini.

Katanya, guru-guru di negeri ini juga diminta memberikan pendedahan kepada pelajar terhadap peluang bagi melanjutkan pelajaran di Kolej Vokasional kerana selain mendapat kemahiran, ia juga memberi peluang kerja yang luas selepas mengikuti latihan kemahiran untuk membolehkan mereka bekerja dalam pelbagai industri. -BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373