Jualan dalam talian meningkat 28.9 peratus pada April

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Aktiviti jual beli dalam talian mencatatkan peningkatan sebanyak 28.9 peratus April lalu, ketika negara menguatkuasakan Perintah Kawalan pergerakan (PKP), bermula Mac 2020.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata peningkatan itu dicatatkan ketika sektor perniagaan lain termasuk francais mengalami kesan besar susulan penularan wabak COVID-19 sejak akhir Disember lalu sehingga kini.

Beliau berkata, tinjauan yang dijalankan Bahagian Pembangunan Francais dan Jualan Langsung (BPFJL) Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menunjukkan industri francais mengalami kemerosotan pendapatan ketara.

“Penularan wabak pandemik COVID-19 yang sedang melanda di seluruh dunia memberikan kesan yang besar kepada ekonomi, termasuk perniagaan francais.

“Penurunan ini terutamanya bagi subsektor makanan dan minuman mencatatkan sehingga 70 peratus, serta subsektor pendidikan yang merekodkan 80 peratus.

“Namun, aktiviti jual beli dalam talian merekodkan lonjakan yang luar biasa dengan peningkatan sebanyak 28.9 peratus pada April lalu,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan platform beli-belah dalam talian, Shopee, di sini hari ini.

Nanta berkata, industri francais antara industri penting di negara ini yang memberi sumbangan nyata kepada ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, sehingga ini, sebanyak 583 francaisor tempatan dan 63 francaisor asing berdaftar dengan KPDNHEP manakala berdasarkan Laporan Tahunan Perniagaan Francais pada 2018, industri francais mencatatkan nilai jualan melebihi RM11 bilion.

Katanya, nilai jualan yang besar ini menunjukkan perniagaan berbentuk francais menjadi pilihan pengguna dan berpotensi untuk diceburi oleh rakyat di negara ini.

Justeru, Nanta berkata, kerjasama antara Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan Shopee itu bertepatan dengan masanya, dalam usaha menggalakkan perniagaan francais secara dalam talian.

Dalam perkembangan berkaitan, Nanta berkata, KPDNHEP bakal memberi fokus kepada Kempen Beli Barangan Malaysia dan Kempen Jualan Malaysia pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata, kedua-dua kempen berkenaan antara inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan kementerian itu, dalam usaha merancakkan kembali sektor peruncitan negara yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19.

“KPDNHEP sudah rancang dua program besar iaitu Kempen Beli Barangan Malaysia dan Kempen Jualan Malaysia dan kini dalam persediaan terakhir,” katanya.

Bagaimanapun katanya, perincian mengenai kempen itu akan diumumkan dalam masa terdekat sebelum pelancaran besar-besaran.

Beliau berkata, biarpun kerajaan berhasrat mengutamakan promosi produk dan perkhidmatan tempatan, peranan peruncit di kompleks membeli-belah yang menjual barangan import tidak akan dilupakan.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373