Kadar pengangguran di Malaysia berkurangan

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Pengangguran di Malaysia turun kepada 742,700 orang atau pada pada kadar 4.6 peratus April lalu, demikian menurut perangkaan terkini Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kadar yang direkodkan itu adalah yang terendah sejak Oktober 2020.

Beliau berkata, sektor pekerjaan negara pada April 2021 terus berada di landasan pemulihan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan di kebanyakan negeri dan PKP Bersyarat (PKPB) yang membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan meneruskan operasi dalam kapasiti penuh.

Justeru, katanya, kadar pengangguran terus menurun sebanyak 0.1 peratus kepada 4.6 peratus berbanding bulan sebelumnya pada 4.7 peratus.

Beliau menjelaskan, bilangan penganggur susut sebanyak 10,500 orang (-1.4 peratus) bulan ke bulan kepada 742,700 orang berbanding 753,200 orang pada Mac.

“Penganggur aktif yang didefinisikan sebagai mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi lebih 80 peratus daripada jumlah penganggur.

“Kategori pengangguran ini berkurang sebanyak 8,200 orang (-1.3 peratus) kepada 618,700 orang berbanding 626,900 orang pada Mac.

“Daripada keseluruhan penganggur yang aktif, sebanyak 52.1 peratus adalah penganggur yang menganggur kurang daripada tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Uzir berkata, dari segi perbandingan tahun ke tahun, setelah mencatatkan peningkatan berterusan selama 14 bulan sejak bermulanya pandemik COVID-19, buat pertama kalinya kadar pengangguran mencatatkan perubahan negatif disebabkan oleh asas kadar pengangguran yang tinggi.

Beliau berkata, bilangan penganggur juga mencatatkan penurunan tahun ke tahun sebanyak 4.6 peratus atau 36,100 orang.

Katanya, prospek perniagaan yang lebih baik turut digambarkan melalui prestasi Indeks Pelopor (IP) bagi Mac 2021 yang mencatatkan peningkatan sebanyak 1.8 peratus bulan ke bulan.

Lantaran itu, katanya, bilangan tenaga buruh pada April 2021 mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus atau 12,200 orang kepada 16.09 juta orang.

“Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) bagi tempoh dikaji kekal pada 68.6 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja pada April juga bertambah bulan ke bulan sebanyak 22,700 orang kepada 15.35 juta orang.

Beliau berkata, nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan kekal pada 65.4 peratus.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373