Kaji semula keselamatan guru di sekolah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) digesa mengkaji semula aspek keselamatan guru yang mengendalikan pembelajaran secara bersemuka untuk calon peperiksaan utama 2020.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock, berkata tindakan itu perlu kerana ada sekolah didapati memaksa guru untuk mengajar dari jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang.

Katanya, waktu rasmi untuk sesi pembelajaran sepatutnya ialah pada jam 7.30 pagi hingga 2.30 petang.

“Waktu selanjutnya, dari jam 2.30 petang hingga 4.30 petang ialah waktu untuk kelas tambahan, iaitu di luar waktu rasmi.

“Masa yang terlalu lama di sekolah sudah tentu akan melemahkan semangat dan minat pelajar untuk membuat persediaan bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kelak.

“Begitu juga guru yang bertungkus-lumus menyedia dan mengajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebelum ini.

“Daya tahan kesihatan pelajar dan guru turut akan terjejas kerana terperap di dalam kelas sahaja, tanpa melakukan aktiviti riadah yang dapat menguatkan ketahanan serta imunisasi badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada 16 Januari lalu menerusi arahan terbaharu mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka mulai 20 Januari, di seluruh negara hanya membabitkan calon peperiksaan utama bagi 2020.

Pendekatan itu diambil selepas mengadakan perbincangan dengan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jabatan Kesihatan negeri (JKNT), sebelum ini mengesahkan Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, di Kuala Terengganu diarah tutup selama 14 hari, berkuat kuasa 22 Januari lalu hingga 5 Februari depan.

Arahan penutupan sekolah itu dikeluarkan JKNT selepas mendapati lapan guru di sekolah berkenaan disahkan positif COVID-19.

Susulan penularan dalam kalangan pendidik, Huat Hock mencadangkan supaya jadual keberadaan pelajar di dalam kelas dan PdPR diselaraskan di semua sekolah.

“Pelajar dan guru perlu diberi ruang serta masa untuk melakukan aktiviti riadah secara persendirian.

“NUTP juga menggesa KPM untuk menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada guru di seluruh negara bagi menjamin aspek keselamatan dan kesihatan mereka,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373