Kakitangan, bekas pekerja AADK didakwa kes rasuah

Estimate Reading Time: 2 minutes

ALOR SETAR: Seorang kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan seorang lagi bekas pekerja agensi itu, didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan rasuah bagi melepaskan suspek kes dadah pada 2016.

Kedua-dua tertuduh, Norzarenawati Osman, 38, dan Erwan Yahya, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan, Norzarenawati yang ketika kejadian bertugas sebagai Penolong Pegawai AADK Kuala Muda, didakwa dengan niat bersetuju menerima suapan wang tunai RM3,000 daripada seorang individu di sebuah rumah kosong di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, pada jam 3 petang 7 Disember 2016.

Wang itu didakwa sebagai dorongan bagi melepaskan seorang lelaki didapati positif dadah jenis syabu ketika saringan awal ujian air kencing yang menjadi kesalahan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Norzarenawati yang kini bertugas di AADK Kulim, didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Dalam pendakwaan berasingan di mahkamah sama, Erwan yang juga bekas Pembantu AADK Kuala Muda, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM3,000 untuk diri sendiri daripada individu sama sebagai dorongan melepaskan seorang lelaki didapati positif dadah jenis syabu.

Erwan didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara ketika melalui deretan kedai di Bandar Puteri Jaya kira-kira jam 5.30 petang 7 Disember 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Erwan didakwa dengan niat bersetuju menerima suapan berjumlah RM3,000 daripada individu sama sebagai dorongan melepaskan seorang lelaki positif dadah di sebuah rumah kosong di Bandar Puteri Jaya pada jam 3 petang tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan ke atas kedua-dua tertuduh dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Fauzee Azizan, manakala Norzarenawati tidak diwakili peguam, dan Erwan pula diwakili peguam, Alias Ibrahim.

Murtazadi kemudian membenarkan Norzarenawati diikat jamin RM8,000 dan Erwan sebanyak RM6,000 dengan masing-masing seorang penjamin.

Kedua-dua tertuduh juga diperintah menyerahkan dokumen perjalanan dan melaporkan diri di Pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh kemudian membayar wang jaminan ditetapkan. -BERITA HARIAN

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373