Kakitangan sokongan perlu lengkap vaksin sebelum masuk sekolah

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) hanya membenarkan pekerja perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan (KBK), perkhidmatan kawalan keselamatan (PKK), perkhidmatan bekalan makanan bermasak (BMB) serta bekalan makanan mentah (BMM), yang sudah lengkap dua dos vaksin COVID-19 memasuki premis sekolah.

Ia bagi memastikan usaha KPM mencapai imuniti kelompok di kawasan sekolah.

Arahan itu yang dikeluarkan melalui satu pekeliling bertarikh 3 September lalu, menyatakan kebenaran itu terpakai untuk penerima dos lengkap yang sudah melepasi hari ke-14 daripada tarikh kedua suntikan untuk vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

Bagi penerima vaksin satu dos keluaran syarikat Johnson & Johnson serta CanSino pula, mereka perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

Dokumen berkenaan yang dimuat naik ke laman sesawang KPM, dikeluarkan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) kementerian itu, Noor Azman Abdul Rahman.

Arahan itu dibuat selaras dengan pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, bahawa sesi persekolahan secara bersemuka dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 3 Oktober depan, tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Berikutan itu, KPM mengingatkan kontraktor perkhidmatan PKK, KBK, BMB dan BMM untuk memastikan pekerja seliaan mereka lengkap divaksinasi sebelum memasuki kawasan sekolah.

Minggu lalu, BH melaporkan, Mohd Radzi sebagai berkata, guru yang belum atau enggan menerima vaksin COVID-19 tetap perlu ke sekolah seperti biasa dan melakukan tugasan kecuali mengajar secara bersemuka. -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373