Katil ICU COVID-19 cecah 125 peratus di Lembah Klang

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes COVID-19 secara mendadak mutakhir ini memberi tekanan hebat terhadap sistem perkhidmatan kesihatan negara apabila kadar penggunaan katil rawatan kritikal (ICU) pesakit COVID-19 di Lembah Klang mencecah 125 peratus setakat semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kadar keseluruhan penggunaan katil ICU pesakit COVID-19 di seluruh negara pula mencecah 74 peratus.

Beliau berkata, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, Negeri Sembilan mencatatkan penggunaan katil COVID-19 ICU melebihi 80 peratus.

“Hospital COVID-19 meningkatkan jumlah katil ICU yang diperuntukkan untuk pesakit COVID-19 dengan mengubah fungsi (repurpose) wad biasa.

“Walau bagaimanapun, ini juga mengurangkan peluang pesakit bukan COVID-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan.

“Peningkatan kes secara mendadak kebelakangan ini memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara dan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya awal hari ini.

Sehubungan itu Dr Noor Hisham menyeru rakyat Malaysia untuk terus patuh berada di rumah jika tiada urusan penting di luar.

“Rakyat adalah barisan hadapan yang amat penting pada ketika ini dan diharap untuk terus patuh duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar.

“Kita tiada pilihan lagi, kita mesti jaga kita!,” katanya.

Malaysia merekodkan kes kematian tertinggi akibat jangkitan COVID-19 selama dua hari berturut-turut, iaitu sebanyak 47 kes dilaporkan semalam, berbanding 45 kes kelmarin.

Bagi kes baharu yang dilaporkan semalam, sebanyak 4,865 kes dikesan menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini meningkat kepada 479,421 kes.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373