KDN lancar Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (2021-2025)

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 31 Mac — Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (2021-2025) (NAPTIP 3.0) bagi membanteras  jenayah pemerdagangan manusia di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pelan berkenaan adalah dokumen strategik yang menggariskan segala perancangan dan usaha bagi membanteras pemerdagangan orang di Malaysia dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata pelan berkenaan merupakan hasil usaha sama Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) serta semua agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, pertubuhan masyarakat madani dan pertubuhan antarabangsa yang telah terlibat dalam mewujudkan pelan itu.

“Kegiatan jenayah pemerdagangan orang adalah sama seperti amalan perhambaan zaman moden iaitu maruah serta hak asasi seorang manusia yang menjadi mangsa telah dinafikan dan diperlakukan secara zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Jenayah berkenaan boleh berlaku kepada semua golongan tidak kira lelaki atau wanita, orang dewasa atau kanak-kanak, status dan bangsa,” katanya  ketika  berucap  melancarkan  Pelan  Tindakan  Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (2021-2025) yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi KDN, di sini, hari ini.

Sementara itu Hamzah berkata sebanyak 1,780 kes pemerdagangan orang direkodkan sejak tahun 2015 dengan 9,594 individu diselamatkan,

Beliau berkata jumlah berkenaan terdiri daripada 8,062 wanita, lelaki (1,122), kanak-kanak perempuan 270 dan kanak-kanak lelaki 140 yang menjadi mangsa kegiatan itu.

Menurut Hamzah usaha membanteras perlakuan jenayah pemerdagangan orang adalah sesuatu yang dituntut dalam Maqasid Syariah bagi memelihara nyawa seorang manusia termasuk mengembalikan maruah dan harga diri.

“Secara keseluruhannya, dasar dan program yang digariskan dalam NAPTIP 3.0 membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan maruah dan hak asasi manusia dijunjung, dihargai dan dihormati,” katanya. -BERNAMA

 

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373