Kegiatan penyelewengan gas bersubsidi terbongkar

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LANGAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Selangor berjaya membongkar kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di sebuah premis perniagaan di Taman Telok, Telok Panglima Garang, di sini, semalam.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah, berkata selepas tiga bulan menjalankan risikan, pasukannya menyerbu premis perniagaan kedai dua tingkat yang dijadikan markas pemindahan gas LPG bersubsidi itu menerusi Ops Gasak.

“Ketika serbuan, seorang lelaki berusia 47 tahun disyaki pemilik kepada barangan yang ditemukan di premis itu mendakwa, sudah beroperasi sejak lapan bulan lalu.

“Siasatan juga mendapati, bekalan LPG bersubsidi itu dipercayai diperolehi dari satu syarikat pembekal berlesen di Sungai Pelek,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhamad Zikril Azan berkata, pihaknya juga merampas 20 silinder LPG bersubsidi yang berisi serta 92 silinder tidak berisi.

KPDNHEP turut menyita lori tiga tan disyaki digunakan untuk mengangkut LPG. Nilai rampasan LPG dan lori itu dianggarkan bernilai RM18,000.

“Pasukan serbuan turut menemui resit penghantaran gas petroleum cecair bersubsidi oleh pembekal dari sekitar Selangor di lokasi kejadian,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya siasatan mendapati penggunaan silinder gas petroleum cecair bersubsidi bagi proses pemindahan di premis terbabit setiap bulan mencecah 200 silinder.

“Kerajaan kehilangan RM36,000 nilai subsidi kesan daripada aktiviti penyelewengan oleh premis ini sejak lapan bulan lalu.

“Bagaimanapun, nilai subsidi yang berjaya diselamatkan pada serbuan yang dijalankan itu berjumlah kira-kira RM2,500,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. -BERITA HARIAN

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373