Keluarkan segera cubaan bunuh diri daripada senarai jenayah, kata NGO

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Putrajaya digesa mempercepatkan proses mengeluarkan perbuatan cuba membunuh diri daripada senarai jenayah yang boleh dihukum.

Bersempena dengan sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia hari ini, Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) berkata, langkah itu amat penting ke arah melupuskan stigma kesihatan mental dan memperbaiki kebajikan umum selaras dengan norma antarabangsa.

Dalam satu kenyataan, ia menggesa kerajaan memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan bagi menghalang hukuman berganda ke atas individu yang sedia berhadapan dengan beban psikologi.

NGO itu juga menggesa kerajaan memperluaskan penguatkuasaan pengharaman paraquat, yang bermula awal tahun ini, bagi menghalang kes keracunan kendiri.

Memetik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi ia berkata, sebanyak 500,000 rakyat Malaysia dewasa mengalami kemurungan, sementara 424,000 kanak-kanak berdepan masalah kesihatan mental.

Angka itu dijangka meningkat berikutan wabak Covid-19, kata MHC.

“Lebih penting sekarang ialah pelaburan dan pengukuhan sokongan kesihatan mental rakyat dengan memastikan terdapatnya jumlah pakar psikologi, pakar psikologi klinikal dan kaunselor yang mencukupi di hospital dan klinik awam di seluruh negara.”

Ia mahu kerajaan memastikan wujudnya pariti dalam perlindungan insurans bagi rawatan kesihatan mental, memperluas perkhidmatan Talian Kasih serta menyediakan lebih banyak sokongan kepada persatuan kesihatan mental awam.

“Kesihatan mental adalah isu yang melibatkan semua orang dan kita tidak harus menghukum golongan yang sedia bergelut dengan masalah kesihatan mental.

“Kerajaan perlu melahirkan Malaysia yang lebih penyayang dengan memperkukuh pendekatan lebih empatik dalam dasar dan pembuatan keputusan. Kami menggesa kerajaan mengeluarkan percubaan bunuh diri daripada senarai jenayah,” katanya.

-FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373