Kelulusan projek tambak laut tak jejas sokongan terhadap PH – Kon Yeow

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGETOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, yakin Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang mencetuskan kontroversi tidak akan menjejaskan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata, ini kerana perjalanan projek PSI yang sebelum ini dikenali sebagai projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) sudah pun bermula sejak 2013.

Katanya, ketika Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2018 dan 2022, projek PSI dibentangkan di atas meja untuk membolehkan rakyat menyatakan pendirian mereka.

“Pada pilihan raya 2018, kita bentangkan projek ini yang ingin kita laksanakan. Kami maklumkan kepada rakyat untuk menggunakan undi mereka bagi menyatakan pendirian berhubung projek ini.

“Dalam pilihan raya di peringkat negeri, kita menang dengan majoriti terbesar iaitu 37 daripada 40 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) yang dipertandingkan. Kami bukan sahaja menang di kerusi di tapak projek, tetapi juga di kawasan sekelilingnya.

“Dalam PRU 2022, kita tidak melihat hakisan dalam sokongan juga. Kami sudah membentangkan projek ini semasa pilihan raya 2018 dan 2022 dan majoriti membuat telah pun keputusan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada projek PSI yang mendapat kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) walaupun mencetus kontroversi termasuk menerima bantahan banyak pihak, mungkin menjejaskan sokongan terhadap PH dalam PRN yang akan berlangsung.

PSI bernilai RM11 bilion membabitkan penambakan laut secara besar-besaran, termasuk pembinaan tiga pulau buatan manusia adalah sebahagian daripada pelan induk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata pihaknya tidak boleh menghalang mana-mana pihak sama ada ahli politik atau badan bukan kerajaan daripada mempolitikkan isu kelulusan projek itu.

“Kami sangat terbuka mengenai projek ini sejak awal lagi. Kami tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan,” katanya. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373