Kenakan hukuman maksimum untuk pendera bayi, kanak-kanak

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA KINABALU: Pelaku kes dera, khususnya yang memangsakan bayi dan kanak-kanak perlu dikenakan hukuman maksimum sebagai pengajaran untuk orang ramai.

Pengerusi Biro Undang-Undang Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Erveana Ansari, berkata tindakan itu perlu memandangkan kes dera bukan hanya mencederakan mangsa, tetapi memberi kesan jangka panjang kepada mereka.

Merujuk kes kanak-kanak dipukul dan ditampar seorang pengasuh taska di Luyang, dekat sini, baru-baru ini, beliau berkata penderaan terhadap kanak-kanak adalah kes serius yang perlu dikenakan hukuman berat.

“Dalam satu kejadian baru-baru ini, mangsa ditendang di perut dan dada, ditampar dengan kuat mengunakan tangan di bahagian muka berkali-kali, ditarik rambut dengan kuat, dipukul dengan kuat di bahagian tangan, badan dan kepala menggunakan pembaris sehingga terbaring di kerusi.

“Mangsa juga ditumbuk di kepala berkali-kali dan dipukul di kepala mengunakan buku. Bayangkan kesengsaraan fizikal dan trauma psikologi mangsa yang berumur empat tahun didera pengasuh yang tidak berperikemanusiaan.

“Saya yakin siapa pun majistret atau hakim yang mendengar kes ini akan mengenakan hukuman penjara yang seberat- beratnya kepada pelaku perbuatan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Peguam itu berkata, walaupun pengasuh dalam kes di Luyang mengaku bersalah, hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun wajar dikenakan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Katanya, ia mengambil kira bahawa kes berkenaan membabitkan penderaan yang lebih daripada satu insiden, selain kesan negatif dari segi fizikal, mental dan emosi yang dialami kanak-kanak terbabit dan ahli keluarganya.

“Berpandukan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, memandangkan mangsa mengadu berulang kali didera bermula dari Mac lalu dan penderaan diberitahu serta direkod oleh ibu bapanya, hukuman terhadap pelaku harus melibatkan semua kejadian jika dapat dibuktikan di mahkamah nanti,” katanya.

Beliau berkata, kes penderaan kanak-kanak meningkat dengan dengan mendadak walaupun Parlimen sudah meningkatkan hukuman di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 pada 2016.

Selain itu, katanya, kes kematian kanak-kanak akibat penderaan juga membimbangkan berdasarkan statistik pihak berkuasa yang menunjukkan sebanyak 220 kes dilaporkan dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

“Hukuman penjara yang ringan tidak berupaya menakutkan pendera kanak-kanak untuk berhenti mendera. Ia juga tidak cukup atau menakutkan mereka yang ada niat untuk mendera pada masa akan datang.

“Seperti yang kita sedia maklum, Kanun Keseksaan (Jenayah) diwujudkan untuk melindungi masyarakat umum daripada jenayah dan bahaya yang disebabkan oleh individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Erveana berkata, sebagai ibu kepada tiga anak, beliau berpendapat hukuman yang sekeras-kerasnya patut dijatuhkan terhadap pelaku dalam kes itu.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373