Keputusan kes rasuah SUB KBS tangguh ke 12 Mei

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Keputusan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Otman Arsahd, yang sepatutnya diketahui hari ini ditangguhkan ke 12 Mei depan.

Keputusan di akhir kes pembelaan itu sebelum ini ditetapkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Kamarudin Kamsun pada 30 Mac lalu, namun ditangguhkan ke hari ini kerana pembelaan memerlukan masa untuk memfailkan hujahan.

Peguam bela Otman, Rafique Rashid Ali, berkata keputusan kes itu sekali lagi ditangguhkan mengikut permohonan pihaknya atas alasan sama.

“Dimaklumkan bahawa permohonan pembelaan untuk menangguhkan tarikh keputusan di akhir kes pembelaan pada 19 April (hari ini) di atas sebab yang dikemukakan adalah dibenarkan.

“Sehubungan itu, berdasarkan tarikh dicadangkan pihak pendakwaan, mahkamah menetapkan semula tarikh keputusan penuh pada 12 Mei ini. Tarikh 19 April adalah dilapangkan,” katanya pada BH, hari ini.

Pada 31 Mac 2016, Otman didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta di pejabat Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, antara 28 Februari 2012 hingga 18 November 2015.

Bagi 17 kesalahan membabitkan tuntutan palsu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala 15 lagi pertuduhan salah guna kedudukan dibuat mengikut Seksyen 23(1) akta sama.

Pada 21 April 2016, Otman didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad menerusi cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Disember 2015.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya; Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram jika sabit kesalahan.

Seramai 70 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan kes itu. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373