Kerajaan belum bincang kenaikan caruman KWSP majikan – PM

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM: Kerajaan masih belum membincangkan cadangan supaya kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus.

Perdana Menteri berkata, tiada sebarang perbincangan sudah dibuat berhubung perkara itu.

“Tak bincang pun lagi, tak bincang …belum bincang, ” katanya ringkas ditemui media selepas merasmikan Menara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hari ini.

Pada sambutan Hari Pekerja, 1 Mei lalu, Perdana Menteri memaklumkan sudah menerima cadangan itu namun belum di bawa kepada Jemaah Menteri.

Cadangan itu dikemukakan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) yang turut menyenaraikan 11 cadangan lain untuk dipertimbangkan kerajaan, termasuk kajian semula umur bersara wajib.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal dilaporkan berkata, cadangan itu berikutan lebih 15 juta pekerja berhadapan pelbagai cabaran, ujian dan dugaan yang tidak dapat dibayangkan sama sekali, demi memastikan kelangsungan hidup mereka.

Cadangan itu bagaimanapun ditolak majikan dengan alasan tidak sesuai dilaksanakan ketika ini kerana ia hanya akan membebankan majikan, sekali gus menjejaskan pekerja.

Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PENGILANG), Datuk Dr Azman Yusoff, berkata langkah itu akan mencetus risiko pada perniagaan, yang mungkin menyebabkan gaji pekerja dikurangkan atau tidak dinaikkan dan kehilangan pekerjaan. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373