Kerajaan digesa serius rangka akta perubahan iklim

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Pakar perubahan iklim menggesa kerajaan bersungguh-sungguh dalam merangka undang-undang untuk mengawal pelepasan karbon dioksida.

Renard Siew, pakar perubahan iklim di firma penyelidikan Pusat Tadbir dan Pengajian Politik, memberitahu FMT, adalah perlu untuk menginstitusikan akta yang akan meletakkan Malaysia di landasan yang betul dalam mengurangkan pelepasan karbon dioksida.

“Perlu ada mekanisme rasmi agar sektor perniagaan dapat memantau, melaporkan dan mengesahkan jejak karbon mereka,” katanya.

“Pada masa ini, banyak yang dilihat tidak peduli kerana tidak ada undang-undang yang memerlukan mereka melaporkan pelepasan mereka.”

Mei lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata akan menjalankan kajian bagi melihat keperluan sama ada perlu diwujudkan akta perubahan iklim di negara ini.

Beliau berkata ia akan mengambil masa 2 tahun sebelum rang undang-undang boleh dibentangkan di Parlimen jika negara ini memerlukan akta yang sama atau sebaliknya.

Siew menggesa “akta komprehensif” yang meliputi, antara lain, insentif kewangan bagi pengurangan sisa dan menggalakkan kitar semula.

Secara ideal, katanya, akta itu harus menetapkan sasaran yang mengikat secara sah bagi pengurangan pelepasan karbon dioksida selaras dengan perjanjian seperti Perjanjian Paris, yang bertujuan menghadkan kenaikan purata suhu global kepada 1.5 darjah menjelang akhir abad ini.

Di bawah perjanjian itu, Malaysia berjanji untuk mengurangkan tahap pelepasannya sebanyak 35% pada 2030 berbanding tahapnya pada 2005.

Malaysia sedang bekerjasama dengan Britain untuk membangunkan perubahan iklim dan akta peralihan karbon rendah.

Siew berkata Malaysia boleh membentuk undang-undangnya dengan menggunakan acuan Akta Perubahan Iklim Britain, yang mensasarkan sekurang-kurangnya 80% pengurangan pelepasan karbon menjelang 2050 berbanding 1990.

Beliau juga berkata pembuat dasar Malaysia perlu menyusun pelan tindakan dan pelan penguatkuasaan dan memutuskan insentif dan penalti.

Mengatakan kerajaan telah membuat beberapa pengumuman mengenai kemungkinan memperkenalkan akta itu, beliau berkata banyak persoalan kekal tidak terjawab.

“Siapa yang akan dipengaruhi oleh akta itu? Apa yang perlu dilakukan untuk memastikan pemain utama menyedari peranan dan tanggungjawab mereka? Apa yang berlaku jika orang tidak mematuhinya?” soalnya.

Beliau juga bimbang mengenai kurangnya penjelasan yang akan menyebabkan perdebatan tidak berkesudahan di Parlimen. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373