Kerajaan disaran pasang kamera pintar AI di sempadan

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Kerajaan dicadang memasang kamera pintar berteknologi Kecerdasan Buatan (AI) di kawasan strategik di sepanjang sempadan negara dalam usaha memperkasakan lagi kawalan keselamatan negara.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata kamera pintar terbabit menepati cadangan kerajaan yang mahu meneroka penggunaan kaedah berteraskan teknologi dan inovasi dalam penugasan pihak berkuasa di sempadan.

“Dengan teknologi pelbagai ketika ini, kerajaan boleh menggunakan kamera pintar AI yang boleh mengenal pasti identiti individu melalui pengecaman wajah yang disambungkan kepada sistem keselamatan diguna pakai pihak berkuasa.

“Kamera pintar AI ini lebih sesuai digunakan pihak berkuasa kerana ia boleh disambungkan dengan sistem komputer dan kamera itu boleh dipasang di kawasan strategik seperti ‘laluan tikus’,” katanya kepada BH.

Semalam, kerajaan mengakui berdepan kekangan untuk melaksanakan pembinaan pagar baharu di sempadan Malaysia-Thailand terutama di Kedah dan Perlis susulan jaraknya yang terlalu panjang.

Justeru, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya sedang meneroka penggunaan kaedah berteraskan teknologi dan inovasi, termasuk membabitkan dron serta AI dalam penugasan pihak berkuasa di sempadan.

Beliau dilaporkan berkata, aspek kawalan keselamatan sempadan tidak seharusnya tertumpu kepada isu pagar semata-mata, kerana ia turut membabitkan beberapa aspek lain, selain kehadiran fizikal anggota keselamatan.

Mengulas lanjut, Musa berkata, biarpun menggunakan teknologi dalam penugasan di sempadan, aspek kehadiran pasukan keselamatan secara fizikal tidak boleh diabaikan.

Katanya, ketika bertugas sebagai Ketua Polis Negara sebelum ini, beliau pernah menubuhkan unit rondaan berkuda di sempadan negara.

“Dulu, saya buat rondaan berkuda di sempadan Malaysia-Thailand di Perlis, kita ada unit rondaan berkuda secara berkala.

“Kita juga kalau boleh buat kerjasama dengan tentera, yang mana mereka diminta melakukan rondaan di kawasan yang tiada penduduk, manakala di kawasan berpenduduk, polis akan buat rondaan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata sebarang penggunaan teknologi dan inovasi dalam kawalan di sempadan negara perlu diseragamkan dengan falsafah keselamatan yang menjadi elemen dalam Dasar Keselamatan Negara.

Beliau menyambut baik sebarang usaha kerajaan untuk memperkasakan keselamatan di sempadan negara, namun ia harus diselaraskan dengan memupuk minda keselamatan dalam kalangan masyarakat.

“Antaranya, memupuk minda keselamatan dalam kalangan masyarakat, memupuk sikap perisikan awam sebagai bantuan kepada pasukan keselamatan dan mewujudkan inovasi yang membolehkan laporan mengenai ancaman keselamatan negara dilaporkan secara terus dan berpusat kepada pihak berkuasa.

“Ini antara perkara yang saya rasa boleh diselaraskan dalam usaha negara dan global menuju ke arah ketamadunan keselamatan berunsurkan teknologi,” katanya. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373