Kerajaan mungkin turunkan harga RON95, diesel – Penganalisis

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mempertimbangkan untuk menurunkan harga runcit bahan api dalam jangka terdekat ini terutamanya RON95 dan diesel, mengambil kira inflasi makanan yang terus meningkat selain tekanan ke atas pendapatan pengguna, demikian menurut MIDF Research.

“Kami menjangkakan kerajaan akan menurunkan harga RON95 sebanyak 10 sen,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

MIDF Research berkata, jika kerajaan menurunkan harga RON95 sebanyak 10 sen kepada RM1.95 seliter bulan depan, kadar inflasi utama Malaysia dijangka susut kepada 2.9 peratus bagi 2023 memandangkan inflasi bukan makanan terus menyederhana kepada 1.3 peratus, manakala inflasi pengangkutan akan menguncup sebanyak 1.7 peratus.

Ia berkata, menjelang akhir tahun ini, pemotongan 10 sen itu akan menjadikan kadar inflasi bulanan lebih rendah kepada 1.9 peratus tahun ke tahun, bermakna bahawa kerajaan akan mempunyai tambahan RM4.31 bilion untuk perbelanjaan fiskal, yang boleh digunakan untuk matlamat lain.

“Selain itu, kerajaan akan mempunyai ruang fiskal yang lebih baik, memandangkan bahawa nisbah hutang fiskal berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah susut kepada 59.3 peratus pada suku pertama 2023, dan dengan mengambil kira liabiliti luar jangka, angka terkini adalah 76.1 peratus,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, ia turut menjangkakan bahawa subsidi bersasar membabitkan bahan api terutama untuk RON95 dan diesel tidak akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

“Hal ini kerana yang pertama, bahan api runcit mempunyai alternatif yang terhad berbanding dengan minyak masak dan elektrik. Selain itu, pengangkutan awam bersepadu dan cekap hanya terdapat di Lembah Klang namun ia khusus untuk kawasan tertentu.

“Walaupun kenderaan elektrik (EV) adalah alternatif lain, peralihan daripada kenderaan berkuasa bahan api kepada kenderaan berkuasa elektrik tidak akan berlaku segera.

“Berdasarkan andaian harga minyak AS$80 setong, kami menganggarkan harga pasaran untuk RON95 ialah RM3.10 seliter. Dalam kata lain, jika mengapungkan sepenuhnya harga untuk RON95 akan menyebabkan kenaikan harga lebih daripada 50 peratus yang akan mempunyai lonjakan besar yang ketara dalam data Indeks Harga Pengguna (IHP),” katanya.

MIDF Research menambah, faktor kedua yang dibimbangi memberi kesan seandainya subsidi bersasar bahan api dilaksanakan adalah klasifikasi pendapatan B40.

“Jika kerajaan menggunakan ukuran pendapatan isi rumah nasional B40 iaitu pada RM3,166 sebagai penanda aras bagi penerima bahan api bersubsidi, kenaikan harga bahan api akan membawa kepada tekanan kos sara hidup yang lebih tinggi kepada golongan ini di negeri seperti Johor, Melaka, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur.

“Golongan ini akan menjadi yang paling teruk terjejas kerana tahap pendapatan mereka melebihi penanda aras B40 negara, oleh itu tidak layak untuk program subsidi bahan api yang disasarkan.

“Kami berpendapat alternatif terhad untuk RON95 dan diesel serta kerumitan tahap pendapatan isi rumah antara negeri adalah antara cabaran sukar bagi kerajaan untuk melancarkan subsidi bersasar bahan api dalam tempoh terdekat,” katanya.

Kerajaan membelanjakan sebanyak RM42 bilion untuk subsidi bahan api pada tahun lalu, merangkumi sebahagian besar daripada perbelanjaan subsidi keseluruhan.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373