Kereta api rempuh bas mini, 11 terbunuh

Estimate Reading Time: < 1 minute

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 11 orang maut, manakala beberapa yang lain cedera dalam kemalangan antara kereta api dan bas mini di timur Pulau Jawa pada Ahad, kata seorang pegawai kepada media tempatan.

Kereta api itu dalam perjalanan ke bandar pelabuhan Surabaya apabila melanggar sebuah bas mini yang membawa sedozen penumpang di lintasan di bandar Lumajang Jawa Timur, kira-kira jam 8 malam waktu tempatan, lapor penyiar Kompas TV.

“Sepuluh maut di lokasi kejadian, manakala seorang (terbunuh) di pusat kesihatan masyarakat selepas menerima rawatan,” kata Pemangku Ketua Daerah Lumajang Indah Wahyuni ​​kepada rangkaian itu.

Beliau berkata, empat mangsa termasuk seorang kanak-kanak sedang menerima rawatan di hospital tempatan, sambil menambah masih tidak jelas sama ada mereka mempunyai hubungan kekeluargaan.

“Ketika kejadian tiada palang rentas kereta api, jadi tiada tanda yang boleh memberi maklumat kepada pemandu,” kata seorang wartawan Kompas TV selepas kemalangan itu.

Imej menunjukkan bas mini berwarna biru itu terbalik dengan mangsa dibawa ke hospital.

Pegawai tempatan dari pengendali kereta api milik kerajaan PT Kereta Api Indonesia, Anwar Yuli Prastyo, berkata kereta api itu meneruskan perjalanannya selepas kemalangan terbabit.

Kemalangan pengangkutan bukan perkara luar biasa di Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas di mana bas, kereta api dan kapal terbang sering usang dan tidak diselenggara dengan baik.

Pada 2015, perlanggaran antara kereta api komuter dan bas mini di lintasan di ibu kota Jakarta, mengorbankan 16 orang.

Pada 2013, tujuh orang terbunuh dan lebih ramai lagi cedera apabila kereta api komuter bertembung dengan lori tangki bahan api di lintasan di Jakarta, dan terbakar.

– AFP

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373