Kes buli di sekolah terus meningkat – Hui Ying

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mendedahkan jumlah kes buli di sekolah terus melonjak tahun ini berbanding dua tahun lalu dengan 4,994 kes direkodkan setakat bulan lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata kes buli bagi 2021 lebih rendah disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani gelombang COVID-19.

“Berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) KPM bagi tempoh tiga tahun, sejumlah 326 kes direkodkan pada 2021, manakala 3,887 kes pada 2022.

“Bagaimanapun, bagi 2023 sehingga bulan lalu, sebanyak 4,994 kes direkodkan dan siasatan sudah dijalankan bagi semua kes itu dan tindakan susulan diambil terutama dari segi bimbingan serta kaunseling,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang ingin tahu jumlah keseluruhan kes buli direkodkan sepanjang tahun dan apakah langkah diambil KPM bagi menanganinya.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, bagi menangani gejala buli di sekolah, ia memerlukan pembabitan menyeluruh pelbagai pihak termasuk ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

Pada masa sama, katanya, kementerian mewujudkan Jawatankuasa Anti Buli di setiap jabatan pendidikan negeri bagi menangani gejala berkenaan.

“Antara inisiatif KPM termasuk mengeratkan hubungan murid dan guru melalui amalan guru penyayang di sekolah. Ia bertujuan menerapkan budaya penyayang dalam kalangan guru dan murid di sekolah, sekali gus meningkatkan hubungan antara keduanya.

“Selain itu, KPM turut mengadakan kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pegawai perhubungan sekolah (PPS).

“Ada seorang PPS di setiap sekolah yang mendampingi dan bekerjasama dengan pihak sekolah termasuk mengadakan program berkaitan buli, malah PPS juga akan melaporkan kes buli kepada KPM,” katanya.

Hui Ying berkata, KPM turut mempelbagaikan platform aduan buli bagi membolehkan murid, ibu bapa dan orang awam membuat aduan terus kepada KPM dengan maklumat disalurkan itu adalah dilindungi.

“Ada empat saluran utama untuk aduan buli iaitu menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA), e-mel, talian telefon dan aplikasi WhatsApp.

“KPM juga tidak menolak untuk menambah guru kaunseling jika kes buli di sekolah terus meningkat,” katanya.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373