Kes curi, gaduh rogol, dan pecah amanah paling tinggi libatkan pelajar di Johor

Estimate Reading Time: < 1 minute

ISKANDAR PUTERI : Kes kecurian, pergaduhan, rogol dan pecah rumah merupakan antara kes yang paling tinggi dicatatkan melibatkan pelajar sekolah di Johor.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata 99 peratus yang terlibat dalam kegiatan jenayah itu pula adalah pelajar sekolah menengah berusia antara 13 sehingga 18 tahun.

Katanya, kes membabitkan pelajar itu masih di tahap membimbangkan walaupun indeks tangkapan jenayah pelajar dilihat mengalami penurunan iaitu 538 kes bagi Januari sehingga Oktober tahun ini, berbanding 1,230 pada tahun 2019.

Justeru itu, beliau bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam pembangunan Modul Kesedaran Jenayah Kanak-Kanak dan Remaja (MEKAR) yang bakal dilaksanakan secara tetap di 1,374 sekolah rendah, menengah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Johor, katanya kepada pemberita.

Ayob Khan berkata pembinaan modul itu memberi fokus kepada tiga modul utama iaitu Modul Narkotik, Modul Gangguan Seksual dan Modul Jenayah Sosial.

“Kalau daripada peringkat sekolah rendah kita didik menerusi modul ini…saya yakin apabila mereka beralih ke sekolah menengah, mereka sudah ada kesedaran tentang jenayah dan sebagainya.

“Pelaksanaannya pula saya akan pastikan konsisten dan berterusan…insya-Allah ia akan bermula selepas pandemik COVID-19 ini berakhir,” katanya.

Ayob Khan berkata, antara objektif Modul MEKAR adalah untuk memberi kesedaran kepada pelajar akan bahaya dan kesan negatif jenayah, memberi pencegahan awal daripada kegiatan jenayah, sekali gus membantu mengurangkan kadar jenayah dalam kalangan remaja dan kanak-kanak di Johor.

Beliau berkata, Modul MEKAR akan dilaksanakan selama dua jam setiap bulan melalui beberapa kaedah antaranya syarahan, perbincangan kumpulan-kumpulan kecil dan tayangan video.

“Kaedah penyampaian modul-modul ini akan bersasar mengikut kumpulan sasar. Ini bermaksud teknik penyampaian, elemen komunikasi, aktiviti serta pembawakan modul sudah tentu berbeza bagi memastikan penyampaian maklumat berlaku dengan berkesan dan interaktif,” katanya. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373