Kesalahan harga, 10 peniaga dikenakan tindakan

Estimate Reading Time: 2 minutes

GEORGETOWN: Seramai 10 peniaga di negeri ini dikenakan tindakan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri ekoran pelbagai kesalahan termasuk menaikkan harga barangan melampau.

Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab Ghapar berkata, kes-kes itu melibatkan kesalahan peniaga di bawah Akta Timbang Sukat 1972 (2); Akta Kawalan Bekalan 1961 (4); Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (3) dan Akta Pelindungan Pengguna 1999 (1).

Menurut beliau, bermula 13 April hingga semalam, pegawai penguatkuasa PPDNHEP telah menjalankan sebanyak 1,536 pemeriksaan ke atas premis perniagaan di seluruh negeri ini.

“Pihak kami sentiasa menjalankan pemantauan, pemeriksaan bekalan dan harga barangan keperluan asas di premis-premis perniagaan sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak tujuh Notis Seksyen 21 melalui Ops Ayam di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang telah berkuat kuasa sejak 15 hingga 22 April lalu.

“Berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan didapati bekalan dan harga barangan keperluan asas mencukupi serta harganya adalah stabil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna supaya bijak berbelanja serta peniaga pula diingatkan memastikan penandaan harga barangan jualan dipamerkan dengan jelas bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat harga.

“Kita juga menasihatkan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang keperluan.

“Ini kerana tindakan undang-undang yang tegas akan diambil jika didapati peniaga cuba untuk mengambil kesempatan menyorok atau menaikkan harga barangan keperluan asas semasa sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu katanya, bermula Januari sehingga April lalu, sebanyak 8,668 pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijalankan untuk memastikan peniaga mematuhi SOP ditetapkan.

“Tiga tindakan kes telah dikenakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Sementara itu Mohd Ridzuan berkata, jika terdapat sebarang aduan, pengguna boleh menyalurkan kepada KPDNHEP untuk tindakan selanjutnya melalui saluran aduan antaranya Bilik Gerakan KPDNHEP Negeri Pulau Pinang di talian 04-3840100, portal e-aduan KPDNHEP (https://eaduan.kpdnhep.gov.my) dan lain-lain platform.–UTUSAN

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373