Kesihatan mental pelajar IPT perlu diberi perhatian ketika PKP

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) memohon Institut Pengajian Tinggi (IPT) memberi perhatian terhadap kesihatan mental pelajar, lebih-lebih lagi mereka yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) .

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata dengan PKP yang tidak dapat dipastikan pengakhirannya, ada sebilangan pelajar mula menunjukkan tanda tekanan, risau dan kemurungan.

“Perkara ini mungkin terjadi pada pelajar-pelajar yang masih terkandas di kampus mahupun berada di rumah.

“MPPK mengambil maklum tentang kebimbangan pelajar terhadap kesihatan mental mereka ketika PKP dijalankan,” katanya kepada FMT.

Sebelum itu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri berkata kerajaan memutuskan supaya semua pelajar di IPT untuk kekal berada di kampus sepanjang PKP.

Ismail berkata kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memastikan kebajikan dan makan minum pelajar diutamakan.

Mengulas lanjut, Amir berkata setiap IPT boleh menggunakan khidmat kaunseling yang ada untuk memberi kaunseling kepada pelajar.

Katanya, pusat panggilan atau talian perkhidmatan kaunseling juga boleh diwujudkan untuk memudahkan pelajar mendapatkan khidmat kaunseling secara atas talian.

“MPPK juga menyarankan semua IPT untuk mengambil inisiatif dengan menganjurkan program yang menarik serta bermanfaat secara atas talian kepada pelajar yang masih berada di kampus supaya mereka dapat mengisi masa lapang, selain mengikuti pembelajaran atas talian yang dilaksanakan.

“MPPK ingin menzahirkan ucapan tahniah dan jutaan terima kasih kepada setiap IPT yang menyediakan khidmat kaunseling bagi memastikan kesihatan mental pelajar terjaga,” katanya.

Amir berharap semua pihak boleh berganding bahu bagi memastikan tiada lagi pelajar yang akan mengalami masalah kesihatan mental. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373