KKM dekati 21,000 responden melalui NHMS, nilai situasi penyakit tidak berjangkit

Estimate Reading Time: 2 minutes

BANGI: Seramai 21,000 responden di 6,000 kediaman seluruh negara akan terbabit dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023: Penyakit Tidak Berjangkit dan Permintaan Jagaan Kesihatan yang dijalankan bermula bulan ini hingga September depan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata NHMS akan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) menilai situasi penyakit tidak berjangkit (NCD) di negara ini, yang menjadi penyebab utama kematian seluruh dunia dan trend permintaan jagaan kesihatan, sekali gus menyumbang kepada penggubalan dasar kesihatan negara pada masa akan datang.

Beliau berkata, statistik NCD di negara ini sememangnya membimbangkan, yang mana data NHMS 2017 menunjukkan ia menyumbang 72 peratus kematian pramatang dan hampir 76 peratus beban penyakit di Malaysia.

“Data NHMS 2019 menunjukkan 18.3 peratus ataupun 3.9 juta populasi dewasa berusia 18 tahun dan ke atas di Malaysia menghidap diabetes, selain 30 peratus atau 6.4 juta orang menghidap penyakit tekanan darah tinggi dan 38.1 peratus atau 8.1 juta orang mempunyai masalah kolesterol tinggi.

“Beban penyakit NCD terhadap ekonomi negara juga amat tinggi, yang mana anggaran kos beban penyakit kardiovaskular, diabetes dan kanser di Malaysia antara RM100.8 bilion dan RM 302.4 bilion, bersamaan 7.4 hingga 22.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017, yang tentunya memberi kesan negatif kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan NHMS 2023: Penyakit Tidak Berjangkit dan Permintaan Penjagaan Kesihatan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dan Ketua Jabatan Oftamologi dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal, Hospital Shah Alam, yang memikul tugas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikaal), Datuk Dr Nor Fariza Ngah.

Dr Zaliha berkata, menyedari NCD dan cabaran kesihatan lain di negara ini, KKM melancarkan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan 2023 pada 9 Julai lalu, membabitkan pengisian aktiviti titik sentuh seperti lawatan dari rumah ke rumah dan program statik, yang memberi peluang kepada agensi terbabit untuk bersama KKM dalam mengadakan pameran serta aktiviti setempat.

“Ia usaha menyebar luas maklumat asas pencegahan dan hebahan mengenai program kesihatan serta inisiatif komuniti yang dijalankan KKM kepada kumpulan sasar.

“Pengisian ini bertujuan memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan melakukan ujian saringan kesihatan bagi mengesan dan mencegah risiko NCD,” katanya.

Sementara itu, Dr Nor Fariza berkata, skop NHMS tahun ini meliputi penyakit diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, aktiviti fizikal, penggunaan tembakau, pengambilan alkohol, saringan kesihatan, amalan pemakanan, anthropometri, kesihatan mental dewasa dan kanak-kanak, asma serta ketidakupayaan, selain maklumat permintaan jagaan kesihatan dan penggunaan perkhidmatan kesihatan.

“Kaedah pengumpulan data NHMS ini termasuk temu bual secara bersemuka, penggunaan borang soalan yang dijawab sendiri dan penilaian klinikal seperti pengukuran antropometri, tekanan darah serta pemeriksaan gula serta kolesterol dalam darah,” katanya.

Beliau berkata, bermula 2011, NHMS dijalankan berdasarkan pusingan empat tahun dengan fokus berbeza setiap tahun, berbanding setiap 10 tahun sebelum ini, bagi memastikan data lebih terkini dapat digunakan bagi perancangan dan penilaian perkhidmatan serta program kesihatan di negara ini.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373