KKM digesa hentikan budaya toksik, kes buli sistem kesihatan negara

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) digesa bertindak segera untuk menghentikan budaya kerja toksik yang telah berakar umbi dalam sistem penjagaan kesihatan awam negara.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Azizan Abdul Aziz, berkata ia berikutan semua pekerja serta kakitangan penjagaan kesihatan awam negara dari setiap peringkat harus berasa selamat dan dihormati apabila menjalankan tugas mereka.

Katanya, demi kepentingan pesakit, semua pekerja penjagaan kesihatan awam juga harus bebas menyatakan kebimbangan mereka tanpa rasa risau atau pilih kasih.

Beliau berkata, budaya toksik berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana buli dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan menimbulkan ancaman besar kepada kualiti penjagaan dan keselamatan pesakit.

“MMA amat prihatin terhadap budaya kerja toksik di banyak kemudahan penjagaan kesihatan awam negara dan bimbang kesannya terhadap keselamatan pesakit, selain berpotensi membawa kepada kehilangan bakat yang tidak ternilai jika tidak ditangani segera.

“Kami masih menerima laporan mengenai kejadian buli dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan awam dan akan membawa perkara itu kepada KKM tidak lama lagi.

“MMA juga menerima makluman daripada rakan sekerja dalam sektor penjagaan kesihatan awam yang mengesahkan bahawa kes buli masih berlaku di kemudahan penjagaan kesihatan awam dan di pelbagai peringkat, membabitkan Ketua Jabatan (HOD), pakar, pegawai perubatan (MO), doktor pelatih dan pekerja sokongan penjagaan kesihatan lain.

“Akibatnya, pekerja penjagaan kesihatan terjejas dari pelbagai sudut terutama emosi sekali gus mereka tidak dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit yang dirawat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan satu kajian dijalankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati, 64 peratus rakyat di negara ini mengalami beberapa bentuk diskriminasi dalam tempoh 12 bulan yang lalu.

Dalam tinjauan Keadaan Diskriminasi Malaysia 2023 yang dilaksanakan oleh Persatuan Pendidikan Diversiti (AOD) terhadap 3,238 responden, 38 peratus mendedahkan mengalami diskriminasi dalam bentuk status sosioekonomi, 33 peratus kerana umur dan 32 peratus kerana etnik.

Elemen diskriminasi juga disebabkan faktor warna kulit dan bahasa (32 peratus), manakala tempat tinggal dan pendirian politik masing-masing (28 peratus), identiti gender (26 peratus), jantina (24 peratus), agama (22 peratus) dan keupayaan diri atau tahap kesihatan (19 peratus).

Dalam pada itu, Dr Azizan berkata, MMA turut bimbang terhadap laporan mengenai pakar, terutamanya mereka yang belum mencapai status Pendaftar Pakar Kebangsaan (NSR), menghadapi tekanan berlebihan dan tidak wajar akibat persekitaran kerja toksik.

Oleh itu, beliau berkata, MMA menyarankan langkah segera diambil untuk menangani isu buli dan menambah baik persekitaran kerja penjagaan kesihatan awam, termasuk mekanisme maklum balas serta aduan lebih holistik dan tanpa nama.

“Mekanisme ini akan berfungsi sebagai saluran terus untuk melaporkan insiden gangguan, buli atau sebarang kebimbangan lain yang menjejaskan kesejahteraan tempat kerja termasuk saluran tanpa nama di mana penyedia penjagaan kesihatan boleh melaporkan isu secara terus.

“Ketua Jabatan juga mesti mengambil langkah memastikan persekitaran kerja kondusif yang mengutamakan keselamatan pesakit selain sistem komunikasi lebih terbuka dan telus serta tidak hanya mengharapkan laporan pengarah kesihatan negeri dan hospital semata-mata.

“Akta dan peraturan perubatan sedia ada juga harus disemak, kerana pada masa ini ia memerlukan aduan atau laporan sah untuk tindakan diambil.

“Dalam kebanyakan kes, mangsa takut dengan proses untuk menghukum orang yang mereka adu atau laporkan kepada pihak berkuasa. Tindakan segera seharusnya boleh diambil terhadap mana-mana pesalah, tanpa mengira pangkat atau kedudukan mereka dalam institusi,” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373